HIBURAN

Tumpang Bilik Afwa Buat Live, Siti Nurhaliza Akui Salah Sendiri - “Selalunya Tengahari Dia Kena…”

Asyraf Roslan 24/03/2025 | 23:55 MYT

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza gagal menahan tawa apabila bercakap mengenai tindakan spontan anak lelakinya, Muhammad Afwa yang menutup muzik ketika dia sedang menyanyikan lagu Nazam Lebaran.

Menurut Siti, Afwa berbuat demikian kerana mahu tidur dan beliau mengakui kesilapan kerana menggunakan bilik anaknya itu untuk sesi siaran langsung bersama peminat di media sosial.

“Sebenarnya saya yang salah. Saya buat ‘live’ hari tu di bilik dia. Selalunya tengahari dia kena nap (tidur sekejap) dekat bilik dia.

“Bila dah mengantuk sangat, dia mudah marah. Ibu pula tak stop menyanyi lagi. Dia dah keluar masuk keluar masuk bilik itu. Kami kunci pintu dulu tapi dia ketuk-ketuk,” katanya.

Tambah, pelantun lagu Seindah Biasa itu juga berkongsi taktik memberikan I-pad untuk mengalih perhatiannya tidak berjaya kerana Afwa dengan selamba menutup muzik selepas berjaya memasuki biliknya.

“Sekali Afwa dapat buka pintu, dia masuk dengan I-pad tu selamba tekan. Tutup (muzik) itu, dia kata ibu bisinglah,” ujar Siti.
Pada masa sama, pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin juga menyifatkan anak lelakinya itu mempunyai sifat kelakar yang tersendiri berbeza dengan kakaknya, Siti Aafiyah.

“Afwa ni orang kata anak kedua ini memang lain macam sikit. Afwa ini dia ada kelakar dia sikit.

“Kadang-kadang kat rumah pun dia yang mencuit hati saya. Kakak dia serius sikit. Kakak dia garang,” tambahnya.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Silaturahim Ramadan & Berbuka Puasa anjuran Yayasan Nurjiwa bekerjasama dengan Yayasan Prihatin & Cuckoo.
Majlis itu diadakan bagi meraikan anak yatim, pelajar tahfiz, penggiat seni serta pengamal media yang memerlukan bantuan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap komuniti.

Bukan itu saja, majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan khas bagi membantu meringankan beban golongan yang diraikan.

Sementara itu, Program Sedekah Nurjiwa merupakan inisiatif yang dilakukan oleh Yayasan Nurjiwa bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk turut serta dalam misi amal dan kebajikan boleh turut serta dengan membuat sumbangan secara berterusan ke tabung Yayasan Nurjiwa

Penyumbang boleh memilih untuk membuat sumbangan serendah RM30, RM60, RM90 setiap bulan atau sumbangan tetap tahunan.

Setiap sumbangan akan diberikan pengecualian cukai dan pihak Yayasan Nurjiwa berhasrat mendapatkan pelindungan insurans kepada penyumbang namun perkara ini masih sedang diperhalusi.

Anda boleh menyertai program ini dengan mengisi borang di laman sesawang Yayasan Nurjiwa di www.Nurjiwafoundation.com atau terus mengimbas QR kod yang disediakan.

#Datuk Seri siti Nurhaliza #Muhammad Afwa #Nazam Lebaran #Tutup Lagu