“Tunggu Aku Balik” - Sahabat Kenang Kata-Kata Terakhir Acap
19/05/2024 08:55 MYT
“Tunggu aku balik…” begitu kata-kata terakhir yang diterima daripada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar oleh sahabatnya, Mohammad Fakhrul Syakirin menerusi satu panggilan video sebelum pergi bertemu Ilahi.
Menurut Fakhrul, Ahmad Azza Fahmi Azhar atau lebih senang dipanggil Acap sering berpesan kepadanya dan rakan lain agar menunggu kepulangannya ke kampung.
"Kami tidak sangka pula nantikan kepulangan itu berkaitan kepulangan jenazahnya ke kampung hari ini. Kami sepatutnya pergi berkonvoi ke utara Semenanjung akhir bulan depan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediaman Allahyarham pada Sabtu.
Mohammad Fakhrul Syakirin berkongsi, dalam kalangan rakan-rakan sekampung, Allahyarham Ahmad Azza Fahmi memang sering memberi idea untuk menjalankan aktiviti bersama apabila pulang bercuti.
"Ada sahaja cadangan mahu berkonvoi motosikal atau bercuti di pulau. Kali terakhir kami berkonvoi pada dua tahun lepas, kami ke Melaka, sebelum arwah menjalani latihan polis.
"Kalau tidak berkonvoi, kami biasanya akan ke Ipoh (pusat boling terdekat), sebab arwah suka main boling,” katanya.
Sementara itu, Syafiq Aiman Ab Halim, 23, berkata, dia pasti akan merindui kenangan menanti Allahyarham setiap kali pulang bercuti di kampung.
"Setiap kali balik kampung, arwah Ami akan datang ke rumah saya dan tidur di sini, selepas Subuh barulah pulang ke rumah.
"Dia kebiasaannya balik selepas waktu bekerja dan akan tiba di Bidor jam 4 pagi. Mungkin dia tidak mahu kacau keluarga kerana ibu bapanya bekerja pada keesokan harinya,” katanya yang bekerja sendiri dan tiada masalah untuk menanti kepulangan sahabatnya itu setiap kali Allahyarham pulang ke kampung.
Sumber: Bernama menerusi Sinar Harian