Hiburan
"Tunggu Juga Kalau Ada Suruh Padam Tapi..." - Aktif Guna TikTok, Fazley Yaakob Tak Kisah Dikecam
Penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob bersedia menerima kecaman netizen apabila mula menggunakan aplikasi TikTok.
Sinonim dengan aplikasi 'orang muda', Fazley menganggap status dan usianya bukan penghalang untuk terus aktif dalam media sosial berkenaan.
"Tak ada pula kecaman netizen dalam TikTok. Itu yang saya terkejut sebab saya jangka orang akan kecam bila saya mula buat TikTok.
"Saya tunggu juga kalau-kalau ada yang suruh saya padamkan video sebab tak sesuai dan sebagainya, tapi tiada.
"Bagi saya sudah-sudahlah kalau kata umur tak sesuai guna TikTok sebab usia itu tak menjamin kejayaan atau keburukan seseorang.
"Minda netizen kena buka, mereka yang ketinggalan kereta api kalau kata saya tak layak main TikTok," katanya kepada Gempak.
Fazley yang ditemui ketika majlis pelancaran US Highbush Blueberries di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini berpendapat TikTok medium yang baru untuk menimba pengalaman.
"TikTok sudah menjadi satu trend dunia. Orang Malaysia belum faham sepenuhnya keperluan TikTok sama seperti dahulunya pernah hina penggunaan Instagram.
"Sekarang Instagram menjadi lumrah dan TikTok akan melalui fasa itu.
"TikTok platform saya mencari ilmu, saya belajar resepi, tarian dan diet dari TikTok.
"Kadang-kadang ia menjadi tempat untuk saya dan anak-anak beristirehat bersama-sama. Ia merapatkan hubungan saya dengan keluarga," tambahnya.
Fazley antara selebriti yang aktif dalam medium TikTok. Mengumpul lebih 100 ribu pengikut, Fazley memuat naik aktiviti hariannya serta beberapa tips memasak.