Pengurus kepada pelakon Sophia Albarakbah iaitu Nik Yasmin meminta supaya semua pihak menunggu pelakon itu membuat kenyataannya sendiri berhubung kontroversi yang mengaitkan artis di bawah pengurusannya itu bersama Aliff Aziz.

Nik Yasmin memaklumkan pihaknya ambil maklum berhubung isu berkenaan.

Namun, pihak pengurusan tidak mahu membuat sebarang kenyataan kerana ia membabitkan kisah peribadi Sophia.

“Kita tunggu dia cakap sendiri sebab saya tidak mahu salah cakap sebab saya hanya menguruskan kerjaya dia. Saya tidak mahu nanti apa yang saya cakap memberi kesan kepada kerjaya dia.

“Kalau boleh kita tunggu Sophia sendiri yang beri kenyataan, saya tak boleh beri kenyataan bagi pihak dia. Saya pun tak mahu bagi kenyataan yang mengundang, saya tak mahu benda ini jadi lebih besar dan orang memarahi dia.

“Saya tahu benda yang berlaku dan sudah tentu saya dari pihak pengurusan kena prihatin dengan benda itu dan sudah tentu kami ada berbincang dengannya kerana ketika kejadian itu berlaku kami ada dengan dia,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan Hari Raya bersempena filem Harimau Malaya dan Terkutuk di Hotel Le Meridien, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun, tambah Nik Yasmin, Sophia tidak hadir ke majlis petang itu kerana menghadiri kelas Bahasa Jepun.

“Ya filem ini penting untuk dia. Tapi dia ada jadual untuk ‘job’ seterusnya, dia sekarang ada dalam kelas bahasa Jepun untuk drama Saga With Love musim kedua. Bulan depan dia akan Jepun untuk drama itu,” katanya.

Terdahulu, kekasih gelap kepada Aliff iaitu Sarah Yasmine mendedahkan Sophia masih berhubungan dengan Aliff.

Sarah memuat naik perbualan mesej yang mengesahkan mereka masih berhubung dengan Sophia sehingga Mac lalu.

Sarah turut mendakwa sekiranya Sophia sudah tidak melayan Aliff mengapa perlu wujud akaun Instagram palsu untuk berbual.