Tunjal Kepala Isteri, Nubhan Perjelaskan Situasi Sebenar

ZULHILMI JALIL
Julai 21, 2020 06:49 MYT
Selepas beberapa hari tular video dirinya berkasar dengan isteri, akhirnya, penyanyi Nubhan Ahamad tampil menjelaskan situasi sebenar.
Menurut Nubhan, video yang memaparkan dirinya memarahi dan menunjal kepala isterinya, Dr. Afifah Hidayah Tawfek itu sebenarnya sudah dirancang lebih awal.
Ia merupakan sebahagian daripada perancangannya untuk membuat kejutan kepada isterinya sempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.
"Semua dusta okay. Kejap lagi kita nak prank. Saya dah sebak ni, saya minta maaf sayang kalau saya berkasar.
"Saya tak sanggup, tapi mereka suruh buat, saya minta maaf sangat-sangat," jelas Nubhan yang mendedahkan rakaman sebenar video penuh berdurasi 7 minit yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya.
Dalam video tersebut, Nubhan kemudian cuba menenangkan isterinya yang teresak-esak menangis kerana terkejut dengan tindakannya itu.
"Maaf sayang..jahat ke?..Surprise! Happy anniversary!..Takut ke sayang? Saya lagi takut, fikir nak gaduh macam mana, tak reti nak gaduh," kata Nubhan.
Bahkan, Nubhan turut membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Vellfire berwarna hitam kepada isterinya.
Kata Nubhan dia membelikan kenderaan mewah itu sebagai memenuhi impian isterinya yang pernah disuarakan sebelum ini.
"Dia berhajar nak kereta ini. Dia yang nak Vellfire, sebab nak bawa anak-anak, dah ada keluarga," katanya.
Menurut Nubhan lagi sambutan ulang tahun perkahwinannya itu disambut sebulan awal daripada tarikh sebenar.
"Maaf juga sebab tersalah tarikh anniversary. Mungkin masalah hakiki lelaki suka lupa tarikh ni tak dapat dipisahkan. Sepatutnya bulan Ogos, saya ingatkan Julai," katanya.
Terdahulu, satu rakaman video Nubhan yang berkasar dengan isterinya menjadi perhatian warga net.
BACA: "Biar Saya Selesaikan Dulu Rumah Tangga .." - Nubhan Komen Video Viral Berkasar Dengan Isteri
Nubhan berkahwin dengan Afifah pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata, Aafiya Kamilia, 3 dan Ahmad Aaffan yang kini baru berusia setahun.
#Nubhan #Nubhan #Isteri #Anniversary