Tunjuk Gambar Sedang 'Dating', Diana Danielle Dikecam - "Jaga Iddah, Kita Ni Orang Islam"
Syafiqah Jalal
16/08/2023 00:32 MYT
16/08/2023 00:32 MYT
Pelakon Diana Danielle, 32, mengundang kecaman netizen selepas memuat naik foto tanpa lengan sambil bergambar seperti sedang 'dating' dengan seseorang ketika masih dalam tempoh iddah.
Dalam foto berkenaan Diana dilihat seperti berada di sebuah restoran dan tersenyum sambil memegang tangan seseorang tanpa mendedahkan wajah individu berkenaan.
Diana dalam kapsyen memberitahu gambar itu menunjukkan situasi atau POV (point of view) jika seseorang sedang 'dating' atau bertemu janji dengannya.
"POV: you're on a date with me," tulisnya.
Meskipun difahamkan tangan berkenaan adalah tangan rakan wanitanya, namun rata-rata pengikut kurang senang dengan penampilan serta aksi Diana apabila didakwa masih dalam tempoh iddah.
Netizen meminta agar Diana menghormati tempoh berkenaan kerana dia baru sahaja bercerai dengan aktor Farid Kamil, 42, pada 10 Ogos lalu.
"Jaga iddah, kita ni orang Islam," komen seorang pengikutnya.
"Orang perempuan kena jaga iddah selepas bercerai. Akhir zaman, wanita tak rasa lagi malu bila diceraikan," kata seorang netizen.
"Cepat dapat pengganti?" tanya seorang warga maya.
Pasangan itu bercerai dengan talak satu pasa 10 Ogos lalu selepas Farid melafazkannya menerusi aplikasi Google Meet di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof sebaik sahaja mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Kontroversi rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.
Menerusi laporan media, alasan Diana mahu bercerai disebabkan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.