Hiburan
Tunjuk Peningkatan Sebagai Pengacara Dansa Dan Sing, Hady Mirza Gembira
Juara Gegar Vaganza 2019 (GV2019) Hady Mirza boleh diangkat sebagai pelapis dalam bidang pengacaraan selepas menunjukkan peningkatan prestasi sebagai hos Dansa Dan Sing musim pertama.
Perkara itu diakui oleh Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD, Emarina Mohd Kamal.
“Prestasi Hady Mirza masuk sahaja ke minggu kedua, dia terus nampak perubahan yang positif.
“Dari minggu ke minggu, dengan adanya Sherry Alhadad serta Datuk AC Mizal sewaktu minggu suku akhir, ia sangat membantu.
“Kami sendiri agak terkejut dengan peningkatan yang Hady berikan kepada Dansa Dan Sing,” ujar Emma kepada Gempak.
Tambah Emma lagi, jika ada Dansa Dan Sing musim kedua, sudah tentu pihak mereka akan membuat penilaian dari segi rating dan maklum balas daripada penonton untuk mengekalkan Hady.
“Sebenarnya kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang boleh dijadikan pelapis pengacara.
“Kalau ikutkan, kami ada banyak rancangan siaran langsung tetapi kami kekurangan talent sebagai pengacara. Jadi pemilihan Hady selepas GV2019 adalah untuk memberi peluang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, di ruangan Instagram, Hady turut melahirkan rasa gembira kerana menerima sokongan padu peminat Dansa Dan Sing.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan dorongan. Minggu paling best, gembira campur sedih,” tulis Hady menerusi ruangan kapsyen.
Pada malam konsert akhir Dansa Dan Sing, Sophia Liana dan Budak Ngam telah diangkat sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi sumbangan Astro.
BACA: Tahniah! Sophia Liana & Budak Ngam Juara Dansa Dan Sing, Bawa Pulang RM100,000