Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim tersentuh hati apabila berkongsi momen anakandanya, Tunku Iskandar Abdul Jalil, 3, yang sedang berdoa ketika sedang menonton bola.

Menerusi laman sosial Facebook, TMJ memuat naik sekeping foto momen anakandanya yang dikongsikan oleh seorang individu untuk tatapan umum.

“Ketika perlawanan JDT baru-baru ini, seorang individu telah merakam sekeping gambar pada minit ke-42, di mana pada ketika itu kanak-kanak lain termasuk anak perempuan saya sedang bermain tetapi anak lelaki saya iaitu Tunku Iskandar dilihat sedang berdoa. Beliau menonton bola sepak dan berdoa sendiri.

“Di sini saya ingin kongsikan sesuatu kepada para ibu bapa diluar sana. Apa yang kita lakukan di hadapan anak-anak adalah mustahak kerana anak kita akan sentiasa melihat kita untuk dijadikan contoh.

“Sudah menjadi kebiasaan apabila ingin melakukan sesuatu atau menonton bola sepak, saya akan sentiasa berdoa. Sebagai contoh, ada satu perkara yang terjadi dan amat menyentuh hati saya. Saya merasa terharu sangat,” jelas TMJ lagi.

Malah, TMJ turut menyeru untuk ibu bapa menjadi contoh yang baik kepada anak-anak agar mereka menjadi insan yang lebih baik.

Di ruangan komen, ramai yang memberikan pujian dan bersetuju dengan pendapat TMJ tersebut.

“Mohon ampun Tuanku, saya orang Sarawak. Saya sangat takjub melihat anakanda Tuanku. Saya berjanji akan mendidik anak saya seperti anakanda Tuanku,” komen seorang wargamaya.

“Alhamdulillah tauladan yang baik. Semoga semua keluarga JDT pun sama mendoakan yang baik-baik, jadi penyokong yang bertamadun,” kata seorang wargamaya.

“Mana tumpah kuah kalau tak ke nasi. Contoh yang baik maka baiklah jadinya jika kita mak bapa tunjuk contoh tak baik maka tak baik lah anak-anak jadinya. Syabas TMJ,” puji seorang wargamaya.

“Salute TMJ. Lahirkan raja muda yang hebat juga selepas ini,” tulis seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, status TMJ tersebut telah mendapat hampir 1,000 perkongsian di Facebook.