Sehingga 1 November 2021, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 4,626 kes, masih kekal di bawah 5,000 kes.

Ini kali kedua berturut-turut negara mencatatkan kes COVID-19 bawah 5,000 kes selepas catatan 4,979 kes semalam.

Menerusi perkongsian di laman web covid-19.moh.gov.my, jumlah tersebut menjadikan seramai 2,476,268 individu dijangkiti virus berkenaan sehingga kini.

Dalam perkembangan lain, untuk terus mengekang penularan wabak ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan penerima vaksin COVID-19 keluaran Sinovac akan disuntik dengan vaksin berbeza bagi dos penggalak.

Sementara penerima vaksin Pfizer akan diberi jenis vaksin yang sama untuk dos penggalak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia susulan jawatankuasa pakar KKM diketuai Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr Kalai Peariasamy, memberi `lampu hijau' kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) untuk melaksanakan pemberian vaksin secara heterologus, iaitu campuran vaksin berbeza.

Katanya, penerima vaksin Pfizer akan ditawarkan mengambil dos penggalak selepas enam bulan lengkap divaksin, manakala penerima vaksin Sinovac selepas tiga bulan menerima suntikan kedua.