Kebiasaannya acara karpet merah yang dihadiri oleh selebriti tidak kira di dalam dan luar negara pasti akan menampilkan pakaian atau busana yang berbeza dan menjadi perhatian ramai.

Terbaharu, seorang selebriti tampil dengan pakaian yang sangat aneh dengan kemeja berupa kotak amat besar sehingga menarik perhatian ramai ketika melalui acara karpet merah dalam satu anugerah minggu lalu.

Namun, seorang pendakwah Dr Kamilin yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil menjelaskan pakaian yang pelik dan aneh itu sebenarnya dilarang dalam Islam meskipun menutup aurat.

Menurut Dr Kamilin, pakaian sedemikian di kategorikan sebagai Libas al-Syurah iaitu pelik tetapi mengundang perhatian.

Malah katanya fesyen atau rekaaan baju sebegitu boleh mendatangkan sifat riyak dan perasaan hebat daripada orang lain.

"Pernah tengok orang berpakaian pelik? Biasanya artis atau selebriti seluruh dunia bila berfesyen kononnya unik dan nampak lain daripada lain.

"Sebenarnya pakaian sebegini dilarang dan salah dalam Islam walaupun tidak mendedahkan aurat sebab ia termasuk dalam kategori libas al syurah iaitu pelik tetapi mengundang perhatian.

"Sebab ia boleh jadi pembaziran malah

Islam juga ingin menjaga umatnya daripada sikap riyak atau menunjuk-nunjuk.

"Riyak ini muncul apabila kita rasa lebih hebat dan unik daripada orang lain. Apabila kita biasa mengundang perhatian atau tumpuan ramai, lebih susah untuk menjaga hati," jelasnya.

Kamilin membuat penjelasan itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di

Instagram miliknya, semalam.

Justeru, Kamilin meminta selebriti wanita khususnya dan umum berhati-hati kerana tindakan itu mampu memberi impak besar kepada seseorang termasuk menghalang mereka daripada masuk syurga.

"Jadi saya menyeru sahabat-sahabat terutamanya selebriti dan pereka fesyen, jauhilah rekaan yang mengundang ke arah syuhrah ini. Ini kerana sifat-sihat begini boleh menghalang kita masuk syurga.

"Tak semestinya pakaian itu perlu gah atau mewah baru jadi syurah... jangan nampak pelik, lain daripada orang lain sehingga mengundang sensasi dan perhatian disebabkan keanehannya.

"Kalau orang lain datang majlis itu pakai biasa-biasa, jangan pula datang dengan berlainan atas bawah sehingga menjadi perhatian orang," kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Kamilin sempat menjelaskan penampilan seorang muslimah yang sesuai, adalah dibenarkan melabuhkan pakaiannya hanya selengan daripada bajunya.

"Ada pun yang sampai ada orang kena angkat, it tradisi jahiliyah dulu untuk kesombongan.," jelasnya dalam ruangan komen ketika ditanya seorang pengguna laman sosial berkenaan.

Kemas kini itu mendapat perhatian pengikut laman sosial apabila di ruang komen video tersebut, rata-rata menyebut nama Aina Abdul.

Aina dikaitkan memandangkan pada malam Jumaat lalu penyanyi berkenaan muncul dengan gaya luar biasa pada acara karpet merah Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

"Aina Abdul jangan pelik-pelik kerana Islam melarang," komen seorang pengikut laman sosial.

"Aina Abdul pihak pengurusan kamu perlu ambil perhatian perkara ini," kata seorang netizen

"Aina Abdul jadikan pengajaran," komen seorang warga maya.

Aina tampil dengan tiga pasang pakaian berbeza termasuk sut merah bersaiz agam yang memaksanya muncul menaiki sebuah lori berkaca lutsinar untuk tiba ke acara berkenaan.

View this post on Instagram

A post shared by Dr. Kamilin Jamilin (@dr_kamilinjamilin_official)