Pelakon Tya Ariffin mengakui pernah hilang arah ketika mula-mula mendirikan rumah tangga dan terpaksa meninggalkan keluarga jauh di Palembang, Indonesia.

Isteri kepada ahli perniagaan Asyraf Khalid ini berkata, meninggalkan karier lakonan yang sedang berkembang di Indonesia serta berjauhan dengan keluarga bukan sesuatu yang mudah.

“Berkahwin dengan Asyraf memerlukan saya banyak berkorban. Saya tinggalkan kerjaya seni di Indonesia yang sedang berkembang dan berjauhan dengan keluarga.

“Saya bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Jadi sebelum ini pun saya mencari rezeki untuk membantu keluarga. Datang ke Malaysia juga saya perlu membiasakan diri dengan kehidupan di sini.

“Ia bukan sesuatu yang mudah. Saya juga ketika itu bergelut antara cintakan keluarga serta kerjaya seni dan masa depan bersama suami.

“Jujur pada awal fasa perkahwinan, saya pernah bertanya kepada suami, hidup saya saat itu untuk apa? Saya pernah seperti rasa hilang punca.

“Takkan saya hanya mahu menjadi isteri yang hanya menunggu kepulangan suami di rumah. Sedangkan saya sangat aktif ketika hidup solo. Saya tidak betah duduk diam.

“Bagaimanapun perasaan itu bukan bermaksud menyesali setiap keputusan yang dibuat. Cuma saya sentiasa percaya hidup ini perlu diteroka dan bukan hanya duduk berpeluk tubuh. Pasti ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

Tya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran wisma Mutyara, Sabtu lalu di Puchong.

Bagaimanapun kata Tya, dia bersyukur kerana suami sering memberikan semangat dan motivasi serta menyokong segala tindak-tanduknya.

Tya kini mampu berbangga kerana memiliki wisma sendiri yang tersergam megah di Puchong menerusi perniagaan jenama Mutyara diusahakan bersama suami.

Ternyata pengorbanan dan keputusan Tya atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandri membuka 1001 hikmah tersendiri saat melahirkan anak lelaki sulungnya.

“Kehadiran Arif boleh saya anggap satu hadiah dan isyarat yang cukup berharga. Posisi ibu mulai mengubah dimensi hidup saya. Menceburi dunia perniagaan Mutyara pada April 2018 juga mula membuka skop hidup saya jadi lebih luas.

“Saya jadi lebih optimis dan bersemangat dalam hidup ini apabila perniagaan yang diusahakan juga dapat membantu mengubah nasib orang lain.

“Saya kalau boleh nak tarik lagi golongan sebegini termasuk suri rumah untuk terus meningkatkan taraf hidup. Di tambah dengan situasi pandemik Covid 19 ramai yang terkesan. Tapi kita boleh ubah semua itu dengan sertai kami di Mutyara sebagai stokis dan dropship,” katanya.

Tya dan Asyraf berkahwin pada November 2015 dan dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa, setahun.