U-Wei Puji Desolasi, Cerita Jelas Tanpa Khutbah-Khutbah Mual

Elrafaei Sapi
Disember 24, 2018 12:50 MYT
Syafiq Yusof antara pengarah muda berbakat besar yang mewarisi semangat bapanya untuk menghasilkan filem yang bermutu taraf pecah panggung.
Dia sebelum ini membuktikan filem arahannya tidak mengecewakan dari aspek sambutan penonton seperti Abang Long Fadil 2 yang ditayangkan pada tahun lalu meraih kutipan RM18.15 juta.
Begitu juga filemnya berjudul Desolasi yang pernah menemui penonton dua tahun lalu turut menerima respons yang positif.
Berkongsi pengalamannya bersama penonton dalam program Bicara Filem - Siri Pengarah di Kuala Lumpur Film School (KLFS) baru-baru ini, filemnya Desolusi menjadi subjek perbincangan tetamu yang hadir.
Pengarah filem terkenal, U-wei Saari memuji filem Desolasi sebagai sebuah naskhah yang menarik untuk ditonton.
"Filem ini contoh baik filem dalam 'tradition' filem Melayu diberi nafas & nuansa kontemporari dengan hasil yang menarik & segar.
"Menangani keislaman dari isu keinsafan dalam kisah cerita yang jelas tanpa kutbah2 mual. Syabas Syafiq," katanya menerusi status di Instagramnya, @uweibin, hari ini.
Pengarah filem Hanyut itu juga menyatakan hasil kerja Syafiq sebagai pengarah baru harus diberi perhatian dan sambil mengikuti perkembangan anak muda itu.
Difahamkan, Syafiq kini dalam prosess pascaproduksi filem barunya berjudul Misteri Delilah yang akan ditayangkan pada tahun hadapan.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
#Syafiq Yusof #Desolasi #U-Wei Saari