Bagai mengubati kerinduan peminat, itulah yang boleh diungkapkan terhadap kemunculan eksklusif pasangan selebriti Fattah Amin dan Nur Fazura dalam konsert Konsert Eksklusif The Singing Pizza, baru-baru ini.

Konsert yang berlangsung hampir dua jam di Auditorium Bentley Music, Petaling Jaya itu turut menampilkan artis dibawah naungan Universal Music Group termasuklah Aman Ra, Zen, Alvin Chong, Thomas Jack dan Shalma Eliana.

Dengan 500 orang penonton yang membanjiri ruang dewan seawal jam 8 malam, persembahan permbukaan dimulakan dengan penuh tenaga oleh Aman Ra.

Dengan membawakan lagu 'berhantunya' seperti Budak Flat, Fighter dan Bangun, Aman Ra berjaya memanaskan 'adrenaline' penonton dalam hanya sekelip mata!

Persembahan kemudian diteruskan dengan penyanyi baru meningkat naik Zen yang membawakan lagu terbarunya If I Knew serta lagu medley Kenangan Terindah dan See You Again.

Walaupun hadir dalam keadaan yang bertongkat, Shalma Eliana tidak menghampakan peminat dengan terus memberi persembahan hebat dengan tiga buah lagu iaitu Janji Terindah, If I Ain't Got You dan single terbarunya Mahukah Kamu.

Persembahan kemudian diambil alih Alvin Chong yang berjaya menarik perhatian penonton dengan membawakan lagu Cinta Luar Biasa daripada Andmesh disamping lagu popularnya seperti Tajam dan Bei Ni Chong Ai sebelum disambung oleh penyanyi duo Thomas Jack.

Selebriti paling ditunggu-tungu, Fattah Amin akhirnya tampil dengan lagu popularnya berjudul Isterimewa dan 1234U.

Acara kemuncak kemudian dipersembahkan dengan penuh gaya oleh Fazura yang menyanyikan lagu seperti Bangun, Bisa Apa dan Can’t Forget Me.

Paling istimewa kedua-dua pasangan itu turut berduet menyanyikan lagu duet terbaharu mereka berjudul Paling Sempurna yang pertama kali dipersembahkan di hadapan penonton. Hadirin dilihat terbuai dengan persembahan 'sweet' mereka.

Secara keseluruhan konsert ini berjaya membuatkan ramai terhibur terutama apabila beberapa artis baru membawakan lagu yang popular yang membolehkan penonton menyanyi bersama. Good job!



Untuk makluman konsert gabungan Universal Music Group dan Pizza Hut Malaysia adalah pertama kali diadakan, bertujuan memperkenalkan kempen The Singing Pizza yang menjadikan kotak piza biasa sebagai kotak muzik.

Untuk menikmati pengalaman The Singing Pizza, pelanggan perlu mengimbas kod QR pada kotak pizza.

Muzik akan dimainkan pada telefon pintar setiap kali mereka membuat pesanan untuk bawa pulang atau penghantaran.

Selain itu, bagi pelanggan yang menikmati hidangan di restoran Pizza Hut, mereka boleh mengimbas kod QR yang diberi dan boleh memilih senarai lagu eksklusif sambil menikmati hidangan piza.