Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersetuju mengurangkan yuran konvokesyen sesi ke-92 yang dikenakan terhadap graduan bagi semua peringkat pengajian diploma dan ijazah, termasuk doktor falsafah (PhD) susulan pandemik Covid-19.

Jumlah pengurangan yuran itu diberikan secara automatik kepada semua peringkat pengajian dari Diploma dan Ijazah, termasuk PhD bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu dibayar graduan.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, Pengurusan Tertinggi UiTM membuat keputusan itu dengan mengambil maklum suasana semasa.

"Yuran konvokesyen sesi ke-92 yang akan dikendalikan secara Janji Temu dikurangkan sebanyak RM40 bagi semua peringkat pengajian.

"Sebelum ini, yuran konvokesyen pada setiap sesi yang dikenakan terhadap graduan pada kadar antara RM150 hingga RM230 mengikut peringkat pengajian.

"Kini, graduan hanya perlu membayar yuran pada kadar antara RM110 hingga RM190 sahaja, " katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azraai berkata, Pengurusan Tertinggi Universiti amat peka dengan situasi semasa yang sedang berlaku dan keputusan pengurangan ini antara inisiatif yang dilakukan UiTM untuk membantu graduan.

"Ia juga bagi menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta supaya pihak universiti prihatin dengan situasi pelajar terbabit,", katanya.

Beliau berkata, baru-baru ini UiTM turut menangguhkan Penganugerahan Diploma/Ijazah Secara Janji Temu dalam norma baharu yang dijadualkan bermula pada 7 November

ke tarikh baharu, iaitu 1 Disember susulan peningkatan gejala pandemik Covid-19 yang membimbangkan.

"Sehubungan itu, graduan diminta mengisi dan mendaftar semula untuk tarikh yang baharu melalui Sistem Janji Temu baharu yang dibuka bermula 26 Oktober hingga 8 November.

"Sila layari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ untuk mendapatkan pautan berkenaan," katanya .

Sumber: Harian Metro