Hiburan
Uji Bakat Kini Dibuka, Mikrofon Impian Kembali Untuk Musim 2!
Berikutan sambutan dan maklum balas positif daripada penonton, program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian yang diadaptasi daripada program ‘game show’ nyanyian nombor 1 di Thailand, ‘Mikrofon Impian’ kini kembali serba baharu untuk musim yang kedua.
Program ini dijadualkan untuk bersiaran secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam bermula 7 Oktober kelak.
Masih mengekalkan format asal, program ‘Mikrofon Impian’ diterbitkan khusus bagi membantu para peserta yang memerlukan bantuan kewangan untuk melunaskan bebanan hutang.
Jenis bebanan hutang adalah terbuka kepada kategori hutang ibu bapa atau penjaga, hutang dengan pihak badan berkanun, hutang dengan pihak bank serta hutang dengan pihak individu.
Hadiah wang tunai yang ditawarkan pula adalah mengikut jumlah keperluan bantuan kewangan yang diminta berdasarkan situasi masing-masing.
Prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang terjejas akibat krisis Covid-19, pihak produksi Astro turut membuka penyertaan musim ini kepada orang ramai memerlukan bantuan bagi meringankan beban masalah kewangan yang dihadapi.
Sesi uji bakat menerusi platform digital akan dibuka bermula 10 Julai 2020 hingga 30 Julai 2020.
Penyertaan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
Calon peserta boleh menyertai sesi uji bakat bagi penyertaan untuk diri sendiri atau mewakili individu lain yang memerlukan bantuan kewangan.
Untuk menyertai sesi ujibakat ‘Mikrofon Impian’ musim yang kedua, calon peserta perlu menyediakan sebuah rakaman video nyanyian lagu penuh tanpa sebarang iringan muzik.
Dalam video tersebut, sila nyatakan dengan jelas mengenai maklumat diri atau keluarga beserta latar belakang dan masalah kewangan yang dihadapi secara ringkas. Durasi keseluruhan video tersebut mestilah tidak melebihi dua minit.
Video penyertaan boleh dihantar menerusi tiga cara iaitu menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram di nombor 019-2003623, menerusi portal rasmi Gempak di www.gempak.com atau menerusi laman media sosial Instagram menerusi penggunaan hashtag #MikrofonImpian2 (pastikan akaun tersebut ‘umum’).