HIBURAN
Uji Rashid, Zaiton Sameon, Azian Mazwan Antara Penerima Sumbangan Duit Raya
Bulan Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga masa untuk berkongsi rezeki dan mengingati mereka yang memerlukan.
Dalam semangat tersebut, sembilan artis veteran diraikan dalam sebuah majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras.
Majlis yang diadakan setiap tahun ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dalam persiapan menyambut Aidilfitri.
Selain meraikan anak yatim dan asnaf, inisiatif ini turut memberi penghargaan kepada sembilan artis era 70-an dan 80-an yang pernah menghiburkan rakyat dengan lagu-lagu raya klasik penuh nostalgia.
Menurut penganjur, matlamat utama program ini adalah untuk menanamkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat serta mendorong lebih ramai individu menyertai aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan.
"Kami ingin mendidik jiwa masyarakat agar lebih cakna terhadap keperluan golongan yang memerlukan. Kadangkala, ramai yang terlepas pandang bahawa artis lama juga berdepan cabaran hidup setelah tidak lagi aktif dalam industri hiburan," katanya.
Sebagai tanda penghargaan, sumbangan khas diberikan kepada barisan artis termasuk A Razak Ismail, Datin Effa Rizan, Zaiton Sameon, Junainah M Amin, Hasnol, Azian Mazwan Safuan dan Uji Rashid.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 200 orang asnaf, anak yatim dan ibu tunggal, selain bantuan kepada tujuh buah surau di bawah kariah masjid.
Di samping itu, beberapa pihak korporat dan badan kebajikan turut menghulurkan sokongan dalam menjayakan program ini, memperkukuhkan lagi peranan masjid bukan sekadar sebagai pusat ibadah, tetapi juga sebagai medan ilmu dan kebajikan untuk komuniti setempat.