Bekas juara Gegar Vaganza 2019, Hady Mirza bercadang berpindah ke Kuala Lumpur jika terikat dengan jadual kerja yang padat di negara ini.

Hady yang juga pengacara program Dansa Dan Sing itu berkata, buat masa sekarang dia masih mampu berulang alik dari Singapura ke Malaysia.

“Buat masa sekarang ini saya akan berada di Singapura pada hari Khamis dan Jumaat setiap minggu, selebihnya di sini.

“Kalau ditanya saya sekarang lebih banyak berada di Singapura atau Kuala Lumpur, saya rasa sama rata.

“Cuma kalau jadual saya terlalu padat yang menyebabkan saya terpaksa berpindah, mungkin saya akan pindah,” katanya kepada Hlive!

Bercakap mengenai perancangannya pada masa hadapan, Hady berkata buat masa ini kebanyakannya masih dalam perbincangan dan belum boleh didedahkan.

“Perancangan akan datang rahsia, tapi saya akan lebih kerap berada di sini. Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu Hady bersyukur kerana rezekinya selepas menyertai GV 2019, semakin bertambah.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong saya selama ini,” ujarnya.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).