Pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay akui risiko dipatuk ular dan cuaca yang panas merupakan cabaran terbesar dalam pembikinan muzik video lagu terbarunya, Oh Na Na.

“Cuaca di Los Angeles sangat panas, antara lokasi penggambaran kami adalah di sebuah padang pasir.

“Masa mula-mula sampai di sana, saya tak fikir pun akan ada ular cuma saya nampak ada banyak lubang yang besar.

“Dalam hati tertanya-tanya juga apa benda tu, lepas itu saya bertanya kepada salah seorang kru dan pada mulanya dia teragak-agak untuk beritahu kerana khuatir emosi saya terganggu.

“Namun lepas yakinkan dia yang saya okay, baru dia beritahu yang lubang-lubang itu sebenarnya adalah rumah ular. Tipulah kalau kata tak terkejut kan? Sebab memang banyak!

“Perasaan takut memang ada, saya tenangkan diri dengan berdoa banyak-banyak dan tawakal. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

“Selain itu saya juga mengalami ‘sunburn’ yang teruk. Kulit kepala juga seakan-akan terbakar dan menggelupas terlalu lama terdedah kepada matahari.

“Pada waktu itu sedang musim panas dan suhu cuaca mereka kering dan panas berbancing di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan video muzik Oh Na Na bertempat di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai muzik videonya Liyana memberitahu kos anggaran untuk pembikinan dua single terbaru, Oh Na Na dan Selesa Tanpa Mu mencecah hampir RM70,000.

“Kami telah menjalani pengambaran di beberapa lokasi di Los Angeles pada Ogos lalu antaranya Venice Beach, Palam Springs dan Malibu Beach.

“Secara jujurnya, saya rasa jumlah tersebut tidaklah terlalu banyak jika nak dibandingkan dengan idea yang diberikan serta kesungguhan team produksi sepanjang pembikinan muzik video tersebut.

“Bagi saya yang paling mahal adalah ‘passion’, kami seronok dengan kerja-kerja yang kami lakukan dan hasilnya sangat memuaskan,” ujarnya.

Muzik video Oh Na Na dan Selesa Tanpa Mu merupakan arahan pengarah baru, Jeany Amir.

Kedua-dua lagu tersebut merupakan ciptaan penyanyi dan komposer Alif Sleeq yang dihasilkan pada tahun lalu.

Teks oleh: Mya Amri