Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ultraman Kecek Kelate Ko?” – Comelnya…Tok Dalang Cilik Jadi Perhatian!

Fiza Kamarudin
01/10/2020 14:00 MYT
Masih ingat tak lagi dengan Tok Dalang dan Tukang Karut cilik dikenali sebagai Pyu yang pernah menjadi tular tidak lama dulu?

Baru-baru ini Pyu atau nama sebenarnya, Aqfierudzar Rizq Mohd. Sulhie, menjadi perhatian apabila bertanya soalan “Ultraman pandai kecek Klate ko?” ketika sedang membuat persembahan.

Gelagat si cilik yang merupakan anak angkat kepada Yayasan Hasanah ini mencuit hati penonton ketika sedang mempersembahkan pengembaraan watak kartun terkenal dari Jepun, Ultraman yang melawan raksasa Gomora yang rupanya seakan-akan Godzilla.

Pyu mula berkecimpung dalam persembahan wayang kulit sejak usia 4 tahun lagi dan kini bergiat aktif dalam seni persembahan warisan negeri Kelantan yang merupakan pengasas Akademi Arjunasukma.


Kini pada usia 6 tahun, Pyu sudah mahir dalam penyampaian cerita wayang kulit menampilkan gabungan watak tradisional seperti Pak Dagang dan Hanuman yang ‘dilawankan’ dengan watak seorang kanak-kanak sekolah bernama Pyu dan Ultraman.

Malu ketika ditemu bual, Pyu berbisik memberitahu, dia amat gemar menonton siri kanak-kanak ‘Ultraman’.

“Selalu saya tonton Ultraman selepas habis sekolah dan habis latihan wayang kulit,” jawabnya malu-malu.

Pyu lazimnya mengambil masa antara tiga hingga empat hari untuk berlatih mengolah cerita yang akan disampaikan semasa mengadakan persembahan.

Kebanyakan cerita yang disampaikan berbentuk pengalaman Pyu sendiri melawat pusat membeli-belah, tempat tarikan pelancong dan tidak ketinggalan cerita nasihat yang menggalakkan rakan sebaya supaya ke sekolah, belajar berjimat cermat dan banyak lagi.

Pyu juga pernah membuat persembahan sebagai Tukang Karut dalam kumpulan dikir barat bersama pelakon popular Sabri Yunus selain sering mendapat bermain wayang kulit di luar negara.



Sementara itu Ketua Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Ruangan Awam Yayasan Hasanah, Zainariah Johari, berkata, mereka turut menyalurkan dana untuk membantu To Dalang cilik tersebut.

“Bapa Pyu berkongsi dengan kami, antara bentuk sokongan yang mereka perlukan adalah peralatan dan kemudahan untuk Pyu. Sebab Pyu masih lagi kecil, oleh itu, patung wayang kulit yang sedia ada terlalu besar dan berat untuk dimainkan.

“Kami usahakan supaya Pyu boleh mendapatkan peralatan yang sesuai menerusi kerjasama dengan artisan yang berkemahiran dalam menghasilkan patung wayang kulit asli dan watak Ultamannya,” katanya.

Selain daripada bidang seni budaya, Yayasan Hasanah memberi tumpuan dalam bidang pendidikan, perkembangan komuniti, alam sekitar dan ilmu pengetahuan.

Individu dan kumpulan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang: https://yayasanhasanah.org/

#Tok Dalang Cilik #Wayang Kulit Ultraman
;