BERITA
Umat Islam Dilarang Sertai Festival Songkran - Mufti Pulau Pinang
Umat Islam dilarang untuk mengambil bahagian dalam festival Songkran sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, festival Songkran yang disambut oleh masyarakat Thai merupakan perayaan tahun baru yang kaya dengan unsur budaya serta ritual keagamaan Buddha.
Beliau berkata, antara amalan yang lazim dilakukan termasuk memandikan patung Buddha, menyimbah air sebagai simbol penyucian diri dan memberi penghormatan kepada sami-sami.
"Berdasarkan penelitian terhadap kandungan dan latar belakang festival ini, umat Islam adalah dilarang untuk mengambil bahagian dalam festival Songkran, sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Sukki berkata, larangan ini berasaskan kepada kaedah dan hadis nabi yang bermaksud: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka (Riwayat Abu Daud).
Tegasnya, sebarang bentuk penyerupaan dalam perayaan agama lain, termasuk dengan alasan budaya atau hiburan, adalah tidak dibenarkan kerana ia boleh membawa kepada kekeliruan akidah serta mencemarkan identiti Islam.
"Festival ini juga sering disertai dengan unsur hiburan melampau, percampuran bebas lelaki dan perempuan, serta pakaian yang tidak menutup aurat dan semua ini jelas bertentangan dengan syariat Islam.
"Justeru, umat Islam diingatkan agar tidak terlibat atau menyertai sebarang bentuk penganjuran, promosi atau kehadiran ke acara Songkran, sebaliknya, isilah masa dengan aktiviti bermanfaat yang selari dengan nilai Islam," katanya lagi.
Songkran secara tradisinya disambut dengan perhimpunan keluarga, memberi penghormatan kepada warga tua dan nenek moyang, serta melaksanakan ritual keagamaan bagi patung Buddha.
Songkran disambut setiap tahun selama tiga hari mulai 12 April, menandakan permulaan Tahun Baharu Thailand.
Dijangka ribuan rakyat Malaysia akan memasuki ke negara itu bagi menyertai sambutan festival berkenaan termasuk yang diadakan kawasan sempadan Thailand.
Selain itu, sambutan Songkran turut diraikan di negara ini antaranya di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang bermula Sabtu ini.
Sumber: Sinar Harian