Umie Aida Kesal Dukun Jadi Mangsa Cetak Rompak

Kamaruddin Razal
April 13, 2018 13:00 MYT
Aktres prolifik Datin Seri Umie Aida kesal filem lakonannya Dukun menjadi mangsa cetak rompak.
Umie meluahkan kekesalan menerusi sebuah entri terbaru di laman Instagram miliknya, @umieaida9.
"Isu cetak rompak dah terlalu lama kita dengar dan terbaru Dukun yang baru seminggu di pawagam dah keluar cetak rompak.
"Tiada apa yang mampu saya minta kecuali kita semua sama-sama boikot #cetakrompak. Kuasa untuk hapuskan cetak rompak hanya ada pada pengguna!
"Please hargai industri kami. Apa akan jadi pada filem-filem akan datang kalau perbuatan tidak bertanggungjawab ini masih berleluasa? Harap pihak berkuasa mengambil tindakan," tulis Umie.
Umie turut meletakkan beberapa hashtag #dukun #boikot #cetakrompak.
Rata-rata peminat bersetuju dengan pendapat Umie dan mengutuk perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab menjadikan filem Dukun mangsa cetak rompak.
Ditayangkan bermula 5 April lalu, filem Dukun berjaya meraih kutipan sebanyak RM6.2 juta selepas empat hari tayangan.
Selain Umie, filem Dukun turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Faizal Hussien, Namron, Bront Palarae, Elyana, Soffi Jikan dan Hasnul Rahmat.
Buat semua peminat filem tempatan yang ingin tahu kesudahan filem Dukun, jangan lupa saksikan keseluruhan filem tersebut di pawagam sekarang dalam versi siaran yang lebih baik serta sistem bunyi yang berkualiti!
Teks oleh: Kamaruddin Razal
#Astro Shaw #Umie Aida #Dukun