ASTRO GEMPAK ARTICLE

Umum Konsert 'DiA Misha Omar' Berskala Mega 29 November Ini, Misha Omar; "Walau Saya Tak Pernah Ada ..."

10/07/2025 | 09:18 MYT
Tanpa banyak bicara dan janji manis, Misha Omar membuktikan kata-katanya dengan tindakan. Penghibur bersuara emas ini akhirnya mengesahkan tarikh rasmi konsert berskala besar terbarunya 'DiA Misha Omar' yang akan berlangsung pada 29 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Pengumuman ini bukan datang mengejut. Sudah sebulan lalu, Misha memberikan ‘hint’ tengah malam di Instagram, cukup untuk mencetus keterujaan dan tanda tanya dalam kalangan peminat setianya.

Namun sebelum tarikh dan lokasi didedahkan, kemunculan single Break lebih awal berjaya memainkan emosi dan membina momentum.

Menariknya, DiA Misha Omar bukan kesinambungan daripada showcase sebelum ini. Sebaliknya, ini adalah satu manifestasi perjalanan seni selama lebih dua dekad.

Menurut pihak penganjur, Double M Productions, konsert ini adalah dedikasi kepada muzik yang tidak pernah mati, kepada suara yang terus hidup dalam kenangan.

Dengan Altus Prohouse sebagai pengurus konsert dan pasukan produksi hebat yang merangkumi nama-nama besar seperti Jennifer Thompson (penerbit), Datuk Syafinaz (pengarah vokal) dan Hamzah Tahir (pengarah artistik), malam itu dijangka menjadi antara detik paling bermakna dalam kerjaya Misha.

“Konsert ini bukan hanya tentang saya, tetapi tentang semua yang pernah meyakini kehadiran saya dalam dunia seni. Walaupun saya tak pernah ada kelab peminat rasmi, peminat tetap datang dengan rasa yang luar biasa. Inilah ‘Riwayat Cinta’ saya kepada mereka.

“Saya ingin tahu, adakah peminat Masih Mempunyai Rasa Itu terhadap saya. Jika ya, pulangkan rasa itu… dan semoga ia abadi dalam DiA Misha Omar," katanya.

Konsert ini juga akan menjadi titik permulaan baharu bagi Misha, yang diketahui memilih untuk tidak kerap mengadakan konsert besar. Namun bila dia bersedia, hasilnya pasti luar biasa.

Tiket akan mula dijual bermula 25 Julai 2025 jam 10 pagi, dengan harga bermula serendah RM288 hingga RM1,200, termasuk kategori eksklusif Royal Twin Seat dan VIP 1 yang hadir bersama akses istimewa ke sesi Meet & Greet dan Soundcheck Pass.

Maklumat Tiket:

RM288 (SILVER)

RM388 (GOLD)

RM488 (PLATINUM)

RM588 (DIAMOND)

RM688 (VIP 2)

RM1,200 (VIP 1)

RM1,200 (2 PAX – ROYAL TWIN SEAT)

Tiket boleh dibeli menerusi Jiotix, manakala pembeli Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh berhubung menerusi WhatsApp di +6011 1660 1122 untuk pembelian khas.