Masihkah anda ingat filem berjudul Entrapment lakonan aktor dan aktres tersohor Hollywood Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones?

Filem terbitan tahun 1999 tersebut berkisarkan tentang hubungan seorang penyiasat insurans bernama Gin, lakonan Catherine dengan penjenayah bernama Mac (Sean) yang merancang satu rompakan di Kuala Lumpur, Malaysia.



Tidak dinafikan, selepas naskhah arahan Jon Amiel itu ditayangkan, rata-rata rakyat tempatan melahirkan rasa bangga apabila ada beberapa babak penting yang dirakamkan di sekitar ibu kota, seperti Menara Berkembar Petronas KLCC dan Stesen LRT Bukit Jalil yang diubah nama menjadi Pudu.

Begitupun, ramai tidak tahu bahawa primadona tersohor, Maya Karin turut terlibat dalam filem berkenaan yang hanya memegang watak tambahan.

Menerusi laman Twitter, seorang pengguna menciap satu gambar yang dirakam pada salah satu babak filem berkenaan. Menerusi babak tersebut, kelihatan seorang wanita yang kelihatan mirip Maya Karin.



Pengguna Twitter berkenaan bertanya: “Adakah itu kamu Maya Karin?”

Lalu Maya menjawab: “Ahaha! Betul, lakonan pertama saya untuk filem ketika umur 17 terus masuk Hollywood haha. Extra je,” balasnya.

Menurut pelakon yang popular dengan filem Pontianak Harum Sundal Malam itu, sungguhpun membawakan watak sampingan, namun dia menerima bayaran sebanyak RM500.

“RM500 untuk kerja satu malam, sebagai seorang yang berusia 17 tahun, it’s kechinggg!” tulisnya lagi.

Mula dikenali menerusi filem Seri Dewi Malam terbitan tahun 2001, setakat ini Maya Karin telah menjayakan sekitar 29 buah filem.

Selain Entrapment, Maya turut terlibat sebagai cameo dengan sebuah lagi produksi Hollywood berjudul Alone. Menerusi filem yang dibintangi Tyler Posey itu, Maya memegang watak sebagai Penganalisa Perubatan.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!