Berita
"Umur 77 Tahun...Duduk Di Pondok Kecil, Dia Tak Suka Meminta" - PU Amin Bantu Baik Pulih Rumah Usang Ibu Tunggal
Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin menghulurkan bantuan kepada seorang warga emas dengan bertindak membaik pulih rumah usang yang menjadi tempat wanita tersebut berteduh di Kampung Pengkalan Mangkapon, Pitas, Sabah.
Perkara itu dikongsikan PU Amin menerusi satu posting yang dimuat naik di Instagram miliknya yang turut memaparkan keadaan ibu tunggal berusia 77 tahun itu.
"Nama dia Juhara Lumandai. Umur 77 tahun. Duduk di pondok kecil. Berteduh daripada hujan dan panas. Dia tak suka meminta minta. Usaha semampu usianya.
"Alhamdulillah Allah bagi rezeki. Kita baik pulih rumah ibu ini. Dalam dua minggu akan siap sepenuhnya. Insya-Allah. Kita beli papan, atap, cat dan lain lain," katanya.
Menurut PU Amin lagi, dia berharap bantuan tersebut sedikit sebanyak memberi kegembiraan buat wanita berkenaan menyambut Aidilfitri di rumah baru nanti.
"Insya-Allah raya ni dapatlah ibu kita duduk rumah baru. Nanti dah siap rumahnya saya kongsi dengan semua ya. Semoga terbina rumah ini untuk ibu Allah berikan kita rumah berteduh di Padang Mahsyar nanti. Teduh daripada panas hari akhirat," katanya.
Di ruangan komen, rata-rata memuji tindakan murni PU Amin yang membantu mereka yang kurang bernasib baik.
"PU Amin seangkatan dengan Ustaz Ebit, rezeki jiwa yang sama, jiwa yang penuh kasih dan sayang, semoga mereka yang buat kerja amal ini ditempatkan di jannah.
"Semoga Allah perluaskan rezeki ustaz.
"Terima kasih semua atas inspirasi dan semangat agar sedekah terus dikembangkan. Semoga ummat manusia dapat manfaat," tulis sebahagian netizen di ruangan komen.
Dalam pada itu jangan lupa saksikan program yang menampilkan PU Amin di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!