Pelakon Wafiy Aan mendedahkan bahawa tahun hadapan merupakan tahun terakhir dia bersama Astro Ceria.

Menurut Wafiy atau pemilik nama asal Mohd Wafiy Ilhan, 20, sudah tiba masanya untuk dia ‘move on’ dengan watak kanak-kanak yang sering dibawanya.

Malah, Wafiy menjelaskan tindakan yang dibuatnya itu untuk mengubah pandangan penonton yang masih menganggap dia sebagai kanak-kanak biarpun usianya sudah melepasi belasan tahun.

“Insya-Allah, tahun hadapan adalah tahun terakhir saya berada di Astro Ceria dengan memegang watak kanak-kanak. Lagipun sekarang usia saya dah 20 tahun, tak kan lah masih nak jadi kanak-kanak lagi.

“Kemudian saya akan memasuki saluran Astro Warna dan Astro Ria, memandangkan saya ada menerima beberapa tawaran lakonan di saluran tersebut.

“Peluang yang ada ini akan saya gunakan sebaiknya sekaligus dapat mengubah pandangan orang ramai terhadap saya yang mana mereka masih menganggap saya sebagai kanak-kanak,” ujar Wafiy ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Geng Kita minggu lalu.

Ditanya pula soal cinta, Wafiy berkata ketika ini fokusnya hanya terhadap kerjaya seni, bagaimanapun tidak menghalang seandainya ada yang ingin mengetuk pintu hatinya.

Malah, anak kelahiran Sabah itu menetapkan syarat bahawa gadis tersebut mestilah memiliki sikap hormat yang tinggi.

“Untuk sekarang ini fokus saya lebih kepada kerjaya seni dan masa saya banyak di habiskan bersama keluarga, tetapi kalau ada yang ingin berkawan saya tidak menolak untuk berkenalan.

“Kalau cerita tentang ciri-ciri wanita pilihan saya bukanlah sejenis yang cerewet atau memilih, cuma satu perkara yang paling penting adalah dia mesti mempunyai rasa hormat yang tinggi.

“Gadis itu mestilah hormati saya, keluarga saya dan adik beradik saya.

“Selain menghormati orang, dia juga perlu menghormati kerjaya seni saya sebagai seorang selebriti dan tidak sesekali mengambil kesempatan ke atas saya memandangkan saya seorang pelakon.

“Syarat sebegitu sudah mencukupi, andai kata dia tidak pandai memasak, perkara itu boleh belajar nanti,” tambah Wafiy.

Dalam perkembangan terkini, Wafiy bakal muncul dalam musim terbaharu siri SMK yang bakal ditayangkan pada 3 Oktober depan jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611).

Selain Wafiy, SMK musim 4 turut dibarisi pelakon lain seperti, Idan Aedan, Erissa Puteri, Mia Sara Nasuha, Elly Mazlein dan Aziz M.Osman.

Sinopsis:

SMK 4 bakal membawa membuka tirainya ketika pasca-pandemik. Pada mulanya Adam (Idan) gembira untuk kembali ke sekolah kerana dia dapat berjumpa semula dengan kawan-kawannya. Malangnya, keadaan sekolah semakin teruk dan sikap kawan-kawannya yang tidak sama seperti dahulu. Kawan-kawan dan para guru menghadapi pelbagai kesulitan selepas wabak pandemik melanda.

Bukan setakat itu, malah sekolah mereka turut diancam untuk ditutup kerana seorang “Datuk” (Aziz) ingin membelinya untuk membina sebuah kilang. Untuk mengelakkan geng SMK berpisah buat selama-lamanya, Adam mendapatkan bantuan pelbagai pihak supaya sekolah tersebut dapat diselamatkan.