Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang meluahkan rasa terharu apabila inisiatif yang digerakkannya bagi mengumpul dana untuk membeli sebuah van jenazah berjaya direalisasikan oleh rakyat Malaysia.

Menerusi laman sosial Facebook, Uncle Kentang berkongsi penghargaan itu untuk tatapan umum.

“Sejarah bagi kita semua. Van Jenazah berjaya direalisasikan melalui laman sosial Facebook.

“Terima kasih. Kita berjaya hasilkan van jenazah melalui kutipan derma di Facebook dalam masa 2 hari. Ini membuktikan kerjasama dan perpaduan di dalam Malaysia wujud dan kental. Tabik kepada anda semua. Hidup Malaysia!” tulisnya di Facebook dengan penuh semangat.



Lebih mengejutkan, sumbangan yang diterimanya itu bukan hanya daripada masyarakat Melayu Islam namun turut melibatkan penderma bangsa lain seperti Cina, India dan Singh.

Menurut Chee Heng, dia mula membuat promosi kutipan dana itu menerusi Facebook pada Jumaat malam lalu dan jumlah yang diperlukan mencukupi hanya dalam tempoh dua hari.

"Hanya dalam tempoh dua hari, saya berjaya mengumpul RM90,000 bagi membeli sebuah van jenazah yang diperlukan buat kegunaan pengurusan Surau Al Iman, U12, Shah Alam," katanya kepada Sinar Harian.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, ramai yang memberi penghargaan kepada Uncle Kentang yang dianggap sebagai hero masyarakat.

“Syukur Alhamdulilllah Semoga dipermudahkan segala urusan seterusnya Aamiin,” doa seorang wargamaya.

“Sangat menakjubkan, betul-betul unsung hero,” puji seorang wargamaya.

“Terima kasih kepada uncle kentang dan para penyumbang di luar sana. Moga Allah menerima amalan kebaikan kalian dan diluaskan rezeki,” komen seorang wargamaya.

“Alhamudullilah, walau tak banyak saya menyumbang tapi saya bangga dapat bersama-sama dengan penderma-penderma yang hebat sekalian.TQ,” ujar seorang wargamaya lagi.

Selain Shah Alam, dia juga mempunyai perancangan membuat kutipan dana bagi membeli sebuah lagi van jenazah selepas ini untuk didermakan buat kegunaan masyarakat di sekitar kawasan Raub, Pahang pula.