Mahkamah Persekutuan pada Khamis memutuskan bahawa peruntukan undang-undang Syariah Selangor mengenai perbuatan seks luar tabii ditetapkan sebagai jenayah sebelum ini adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Memetik laporan Bernama, panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah kuasa Parlimen.

Menurut beliau, Seksyen 28 digubal bertentangan dengan item 1 Senarai Negeri yang menetapkan, badan perundangan negeri tidak ada kuasa untuk membuat undang-undnag berkaitan perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Menerusi keputusan yang dipersetujui bersama itu, mahkamah telah membenarkan pengisytiharan yang dimohon oleh seorang lelaki berumur 35 tahun bahawa Seksyen 28 tersebut tidak sah dengan alasan bahawa peruntukan berkenaan berkaitan perkara itu bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang, maka ia terbatal dan tidak sah.

Untuk makluman, Seksyen 28 Enakmen itu memperuntukkan akan menjadi kesalahan Syariah bagi sesiapa yang melakukan persetubuhan bertentangan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau haiwan.

Apabila disabit kesalahan, denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan kedua-duanya boleh dikenakan.

Antara hakim lain yang turut bersidang adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusof, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk P. Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Lelaki tersebut diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk memulakan prosiding menerusi petisyennya terhadap kerajaan Selangor dan deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah adalah tidak sah.

Identiti lelaki itu walaubagaimanapun dirahsiakan atas permintaan peguam.

Lelaki itu didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2018 atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah kediaman di Selangor.

Namun, lelaki itu mengaku tidak bersalah dan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menunggu keputusan hasil usulnya.

Kredit Foto : AWANI