Hiburan
"Undang-Undang Allah Ada, Tapi Kita Ikut Jugalah Ikut Undang-Undang Negara," - Diugut, Syafie Naswip Buat Laporan Polis
Tanpa angin tanpa ribut, tiba-tiba pelakon terkenal Syafie Naswip menerima ugutan melalui Mesej Terus (Direct Message) di Instagram miliknya.
"Kau tunggu bila-bila masa aku akan upah bomoh kau, aku rela habis duit untuk santau kau.
"Aku nak pesan kat kau kalau tak boleh cara bomoh aku buat cara lain okeyy, bye," tulis pengguna Instagram palsu tersebut.
Syafie kemudiannya berkongsi Direct Message tersebut di Instagram miliknya.
"Motif? Kenal kau pun tidak. Makin hari manusia semakin menakutkan," tulisnya sebagai kapsyen.
Tidak beberapa lama kemudian, pengguna Instagram palsu tersebut sekali lagi menghantar Direct Message dan kali ini menghina ibu kepada Syafie.
"Kau nih dok pos kat IG pula. Muka kau dengan mak macam sial lah," tulis akaun palsu tersebut.
Memikirkan bahawa mesej tersebut sudah mengaitkan ibunya dan menjadi lebih peribadi, Syafie mengambil keputusan untuk mengambil tindakan secara betul.
"Yang pertama tu saya tak ambil serius sangat. Saya anggap ada segelintir manusia ni yang memang tak ada kerja, tapi bila dah buat hinaan terhadap ibu saya, itu sudah melampau. Saya tak akan biarkan sesiapa mengganggu keluarga saya.
"Undang-undang Allah ada, tapi kita ikut jugalah undang-undang negara. Sebab itu saya buat keputusan untuk membuat laporan polis," kata Syafie kepada Gempak sebaik selesai membuat laporan polis di Balai Polis Nilai.
Menurut Syafie, pengguna Instagram palsu tersebut telah menggunakan gambar-gambar dan video-video daripada Instafamous yang menggunakan nama tokwann_
"Instafamous tersebut ada menghubungi adik saya dan memberitahu bahawa gambar-gambarnya digunakan oleh akaun palsu tersebut. Dia bersumpah bahawa bukan dia yang menghantar mesej tersebut kepada saya.
"Pada masa yang sama dia juga telah membuat laporan polis mengenai hal tersebut setelah melihatnya di Instagram saya," kata Syafie lagi kepada Gempak.
Tambah Syafie, segala-galanya telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan dia sangat berharap agar manusia yang tidak bertanggungjawab itu berjaya ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.