Makin berani dan melampau! Itu antara cemuhan netizen apabila munculnya sebuah iklan raya yang mempromosikan aktiviti perjudian.

Video berkenaan mula tular di Twitter sejak semalam selepas ia dimuat naik di YouTube rasmi syarikat perjudian tersebut.

Menerusi video berdurasi 2.01 saat itu, penonton dapat melihat kemunculan watak seorang lelaki muda yang sedih kerana tidak mempunyai duit untuk pulang ke kampung.

Walaubagaimanapun, iklan tersebut menyatakan terdapat cara untuk mencari duit.

“Untung nasibmu engkau berjaya, cuci semua kemudian berjaya” tulis iklan tersebut.

Perkara itu sekali gus menyinggung kebanyakan netizen khususnya yang beragama Islam.

Malah, kebanyakan mereka bengang apabila perbuatan judi yang secara terang haram di sisi agama diguna pakai dalam iklan menyambut Syawal.

Lebih mengejutkan, iklan itu turut menggunakan pelakon Muslim yang tampil dengan imej bertudung menerusi iklan mereka.

“Terang-terang promote judi, menghina agama dan adat Melayu, minta pantau”

“Kita ni nak berduit kaya pun jangan ambil jalan haram”

“Paling malu pelakon dia Islam”

“Melampau, biadap sangat ni,” tulis beberapa netizen.

Sementara itu menerusi pemantauan Gempak di YouTube, video berkenaan telah pun diturunkan.