Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Untung Selepas Cukai Astro Meningkat 10 Peratus Bagi Separuh Pertama Tahun Kewangan 2022

Awani
22/09/2021 10:50 MYT
Keuntungan selepas cukai Astro Malaysia Holdings Berhad meningkat 10 peratus tahun-ke-tahun kepada RM228 juta bagi separuh pertama tahun kewangan yang berakhir pada 31 Januari 2022.

Pendapatan syarikat itu juga kekal kukuh di paras RM2.12 bilion, dengan pendapatan pengiklanan (Adex) turut meningkat 22 peratus kepada RM209 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, prestasi tersebut menunjukkan daya tahan Astro yang tinggi di sebalik keadaan ekonomi yang kekal mencabar.

“Walaupun keuntungan selepas cukai Astro meningkat 10 peratus bagi separuh pertama tahun kewangan 2022, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan serta peningkatan kos kandungan seperti Sukan Olimpik Tokyo dan UEFA Euro 2020 sedikit sebanyak menjejaskan keuntungan selepas cukai bagi suku kedua tahun kewangan yang sama.

“Bagaimanapun, Astro akan meneruskan pelan transformasi serta cita-cita kami untuk menjadi penyalur nombor satu bagi kandungan penstriman yang terbaik.

“Keputusan separuh pertama tahun kewangan 2022 membuktikan kami kekal berdaya saing di sebalik PKP yang berlanjutan. Astro terus menjana pendapatan tunai, mampu mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan proaktif dalam menguruskan modal syarikat,” katanya.

Astro kini telah mendaftarkan satu juta perkhidmatan kotak bersambung atau ‘connected box’, dengan lebih 400,000 daripadanya menggunakan perkhidmatan Ultra dan Ulti Box, tambahnya.

Aplikasi Astro GO kini merekodkan 1.6 juta pengguna aktif setiap bulan dengan kadar purata tontonan selama 230 minit setiap minggu, manakala jumlah tontonan video di platform On Demand atau VOD melonjak 205 peratus kepada 233 juta.

"Astro juga menyaksikan pangkalan jalur lebarnya meningkat 89 peratus tahun ke tahun kerana pelanggan melanggan pakej kandungan yang digabungkan bersama perkhidmatan jalur lebar untuk mendapat lebih nilai.

"Astro akan turut menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan demi memperkukuhkan lagi penawaran digital dan pakej perkhidmatan jalur lebar kami,” katanya.

Pada masa sama, fokus tertumpu terhadap matlamat syarikat televisyen berbayar itu untuk menjadi penyalur nombor satu kandungan penstriman, menerbitkan lebih banyak kandungan Astro Originals, menambah baik penyelarasan segmen dagangan, jalur lebar dan digital serta mengubah suai model perniagaan kepada keadaan semasa.

“Namun begitu, pelaksanaan program vaksinasi yang giat dijalankan di seluruh negara dan pembukaan ekonomi secara berperingkat memberi sinar baharu kepada pemulihan negara.

“Melihat kepada semua ketidaktentuan ini, Astro akan terus berada dalam keadaan siap siaga serta memantau persekitaran perniagaan dari semasa ke semasa, sambil menguruskan kos dengan cermat demi memastikan operasi dan prestasi syarikat sentiasa berada di kedudukan terbaik,” tambahnya.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi turut berkata, lembaga pengarah syarikat itu setuju mengumumkan dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham.

Sumber: AWANI

#Astro #Meningkat #10 Peratus #Untung Selepas Cukai
;