Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Untunglah, Pengantin Perempuan Terima Tiket Konsert Coldplay Sebagai Mas Kahwin

Maliah Surip
23/05/2023 14:55 MYT
Nampaknya kedatangan kumpulan Coldplay bukan hanya dinantikan oleh peminat di Malaysia tetapi juga di Indonesia.

Coldplay sendiri akan bertemu peminatnya di republik tersebut pada 15 November depan di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.



Salah satu cerita menarik tentang ‘pertempuran’ membeli tiket kumpulan yang popular dengan lagu Yellow itu adalah pengantin lelaki memberikan tiket Coldplay kepada isterinya sewaktu akad nikah.

Majlis pernikahan pasangan dari Bekasi itu menjadi viral apabila video akad nikah yang berlangsung dikongsikan di platform media sosial, Twitter.

Menerusi video tersebut, terdengar lafaz akad yang diucap oleh wali dengan pengantin lelaki. Apa yang menariknya, selain emas, pasangan tersebut menjadikan tiket Coldplay sebagai mas kahwin.

"Saya nikahkan dan saya kahwinkan anak kandung saya, Anastasia Ayu Widyadana kepada engkau dengan mas kahwin logam mulia (emas) 21 gram, sepersalinan alat solat, dan tiket Coldplay dibayar tunai," ujar wali nikah tersebut seperti dilaporkan Detik.com.

"Saya terima nikahnya dan kahwinnya Anastasia Ayu Widyadana binti Ahmad dengan mas kahwin yang tersebut, tunai!," jawab pengantin lelaki.

Menerusi informasi, pasangan pengantin baru itu sebenarnya sudah lama berjanji untuk menonton konsert kumpulan kegemaran mereka sebelum mereka berkahwin.

Namun tanpa disangka, Coldplay mengumumkan akan singgah di Indonesia dalam siri jelajah Coldplay Music Of The Spheres World Tour dan mereka berjaya membeli sepasang tiket untuk menyaksikan konsert tersebut.

#Viral #Hollywood #Indonesia #Mas Kahwin #Coldplay