"Tanpa keganasan dan sesuai untuk semua peringkat umur," demikian kata-kata Pengarah Urusan, Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Haji Burhanudin Md Radzi mengumumkan projek permainan konsol animasi siri Upin & Ipin.

Siri animasi popular itu bakal melebarkan sayap dalam area gaming yang dijadualkan akan dilancarkan tahun hadapan.

Siap Oktober 2024

Menariknya, pihak Les’ Copaque juga telah menerima salinan permainan konsol animasi Upin Ipin daripada pihak pembangunan iaitu Streamline Inc untuk tujuan pengujian pada hari semalam.

“Hari ini, game Upin & Ipin telah dihantar ke pejabat kami untuk diuji. Ia adalah game konsol yang boleh didapati di PS4 dan Switch.

"Tahun lepas, kami menugaskan Streamline Inc, pembangun game terkenal yang berpangkalan di Las Vegas, untuk membangunkan game Upin Ipin berdasarkan siri kami.

“Ini adalah game mesra keluarga tanpa keganasan dan sesuai untuk semua peringkat umur. Semua kakitangan Streamline yang terlibat dalam projek ini berpangkalan di Malaysia, dan bekerja rapat dengan pasukan kami.


"Insya-Allah, projek itu akan siap pada Oktober 2024. Sementara menunggu kelulusan daripada penerbit, kami sasar untuk melancarkannya pada suku pertama tahun depan.

“Projek ini merupakan usaha yang menarik dalam dunia gaming, kerana ia berdasarkan siri TV popular. Kami berharap game ini akan meletakkan Malaysia dalam peta dunia gaming. Kami optimis bahawa projek ini akan berjaya dan akan menjadi kebanggaan Malaysia," maklumnya menerusi hantaran di Facebook.

Open world

Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan corak permainan bertema open world yang mana membolehkan para pemain mengawal karakter ikonik Upin dan Ipin dengan bebas untuk menerokai Kampung Durian Runtuh itu.

Difahamkan permainan ini bakal tersedia untuk platform konsol PS4 dan Switch bermula suku pertama tahun depan.

Untuk makluman, permainan ini telah dibangunkan sejak setahun lalu dengan menelan kos sekitar RM15 juta.