Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Tercalon Lagi Di Anugerah Luar Negara…Fuh!

Fiza Kamarudin
25/10/2019 13:59 MYT
Filem animasi popular Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal terpilih mewakili negara ke Asian Academy Creative Awards 2019 (AAA) di Singapura pada 5 Disember ini.

Filem terbitan Les’ Copaque Production itu dicalonkan untuk kategori Filem Cereka Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Burhanuddin Md Radzi berharap filem berkenaan mampu pergi jauh setanding filem animasi antarabangsa sedia ada.

Menurutnya, selepas pernah memenangi beberapa anugerah pihaknya terus mencuba menghantar penyertaan di beberapa festival terpilih.

“Saya bersyukur dengan pemilihan filem ini. Ini satu lagi pencapaian untuk jenama ini terus berkembang dan kukuh.

“Ini juga adalah pembakar semangat kerana melihat filem animasi luar yang banyak bertanding dan apa salahnya filem animasi tempatan kita angkat pula supaya setaraf dengan mereka.

“Sekurang-kurangnya pihak kami sudah cuba menghantar penyertaan dan jika menang ia membuktikan produk tempatan juga layak untuk dibawa ke pentas antarabangsa,” katanya.

Bagi merebut trofi emas, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal akan bersaing dengan 15 filem lain dari rantau Asia, termasuk Australia dan New Zealand.

Dalam pada itu, filem yang mendapat kutipan lebih RM26 juta itu turut tersenarai antara 32 calon bagi kategori Filem Animasi Terbaik di Academy Awards ke-92.

Filem berkenaan turut mencipta kejayaan di Festival Filem Animasi Antarabangsa (Animaze) di Montreal, Kanada apabila memenangi Filem Cetera Terbaik.

Selain itu, ia turut tersenarai sebagai finalis Filem Cereka Animasi Terbaik di Festival dan Ekspo Animasi Antarabangsa Palm Springs 2019 yang akan berlangsung di California, Amerika Syarikat pada 14 dan 15 Disember ini.

Sumber: Harian Metro
#Upin Ipin Keris Siamang Tunggal
;