Pelakon cantik, Che Wan mendedahkan dia pernah dipulaukan oleh agensi kerajaan sebelum ini hanya kerana memuat naik gambar dan ucapan hari jadi kepada Tun Dr. Mahathir di Instagram.

"Sebelum ini saya pernah dipulaukan oleh agensi kerajaan hanya kerana saya memuat naik gambar dan ucapan hari jadi kepada Dr. Mahathir di Instagram.

"Sejak tiga tahun lalu ramai tidak tahu yang saya digam selain terpaksa melalui pelbagai pengalaman pahit setiap kali terpaksa berurusan dengan agensi kerajaan.

"Alhamdulillah perubahan ini nampaknya memberi sinar positif terutamanya kepada anak seni," kata Che Ta.

Che Ta ditemui pada majlis berbuka puasa artis naungan Indigital Sdn Bhd dan LOL Entertainment bersama anak yatim pada Khamis.

Menyokong penuh kerajaan baharu di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir, Che Ta bersyukur kerana diberikan lebih ruang dan hak untuk bersuara.

Malah dia menyambut baik pelawaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk bertemu dengan anak seni minggu ini bagi membincangkan isu mengenai industri seni.

"Saya harap ada khabar gembira yang akan disampaikan sebab saya bukan saya pelakon, tetapi juga mempunyai syarikat produksi. Saya harap ada peluang untuk saya (terbitkan kandungan) di RTM selepas hampir tiga tahun produk saya diketepikan.

"Saya tidak mengharapkan apa-apa jawatan dalam industri seni. Cukuplah sekadar pembelaan kepada orang seni seperti saya daripada kerajaan baharu yang dibentuk.

"Cukuplah bidang kerja yang saya ada sekarang ini, tak perlu tambah kekusutan dengan jawatan lain," katanya.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @rozitachewan1