Drama bersiri ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ merupakan sebuah lagi karya adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Siti Rosmizah yang mengangkat genre romantik terbitan syarikat produksi SR One Sdn Bhd.

Drama 40 episod arahan sutradara handalan Along Kamaludin ini turut menampilkan Siti Rosmizah selaku penerbit dan penulis skrip serta barisan penulis skrip yang terdiri dari Rozie Rashid dan Amka Ahmad.

Lebih istimewa, drama ini turut menampilkan lagu istimewa bertajuk ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ nyanyian Vanessa Reynauld dan Naqiu sebagai lagu runut bunyi yang liriknya juga ditulis oleh Siti Rosmizah.

Pasti ramai yang teruja untuk menyaksikan drama Rindu Awak Separuh Nyawa, jadi Gempak kongsikan 5 trivia menarik yang anda patut tahu tentang drama ini.

1. Drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ merupakan drama pertama yang menggandingkan Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose selaku teraju utama.

Kemampuan kedua-dua pelakon popular ini untuk menghidupkan watak Nazril Nazim dan Kasih Maisara sekali lagi membuktikan kredibiliti mereka sebagai pelakon versatil.

Walaupun pertama kali disatukan, Shukri dan Uqasha mempunyai ‘chemistry’ yang baik sekaligus memudahkan lagi penggambaran.

2. Watak utama Kasih Maisara yang dilakonkan oleh Uqasha Senrose sarat dengan mainan emosi yang mendalam.

Uqasha pernah menangis sehingga takut untuk ke set penggambaran kerana tertekan untuk menjiwai watak tersebut.

Uqasha juga hanya mempunyai satu hari sahaja untuk membuat persediaan daripada segi fizikal dan mental selepas tamat penggambaran drama ‘Perempuan Tanpa Dosa’ dan kemudiannya terus disambung dengan penggambaran untuk drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’.

Ini juga merupakan kali pertama Uqasha terlibat dengan penggambaran drama yang melibatkan naskah panjang sehingga 40 buah episod.

3. Menariknya, dalam salah satu babak sewaktu kereta yang dipandu laju oleh watak Maisara melanggar motosikal yang sedang ‘dinaiki’ oleh watak Nazril lakonan Shukri Yahaya, sebenarnya Shukri adalah pemandu sebenar kereta untuk adegan tersebut, dan bukan beliau yang membawa motosikal tetapi orang lain.

4. Keseluruhan penggambaran drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ masih belum selesai dan sedang giat dijalankan di sekitar Lembah Klang pada ketika ini.

Pihak produksi juga turut menitik beratkan pengamalan SOP yang ketat sepanjang penggambaran berlangsung termasuklah daripada segi penjagaan kendiri dan jarak fizikal yang selamat serta pemakaian pelitup muka dan sarung tangan terutamanya sewaktu menata rias.

Jadual penggambaran juga telah disusun agar tidak melebihi jam 10 malam pada setiap hari.

5. Drama Rindu Awak Separuh Nyawa turut dibintangi Marsha Milan, Fizo Omar, Aida Khalida, Fiza Thomas, Norkhiriah, Aleza Shadan, Balkisyh Semundur Khan dan instafamous Norreen Iman.



Drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 23 Mac 2021 menerusi slot Megadrama secara secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Sebagai bonus, sebuah episod khas Tayangan Perdana ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ akan ditayangkan pada hari ini, 10 Mac 2021 jam 6.30 petang menerusi saluran dan platform digital yang sama.