Jurulatih pasukan bola sepak cacat penglihatan negara, Sunny Shalesh meluahkan rasa bangganya apabila berjaya membawa kumpulan atlet istimewa itu ke tangga 18 pasukan terbaik seluruh dunia.

Menurut Sunny, 50, kisah suka duka pasukan ini daripada bawah sehingga bergelar atlet sepenuh masa negara perlu diceritakan kepada orang ramai

“Bola sepak menjadikan hidup atlet cacat penglihatan ini lebih bermakna. Mereka daripada orang buta normal kepada orang buta cemerlang, itu yang negara perlu tahu.



“Tapi kita cuba tunjukkan yang kita boleh mengubah hidup orang kurang upaya (OKU). Susah senang orang buta, saya taknak simpati orang. Saya perlukan empati semua untuk mengetahui kisah mereka,” ujarnya kepada Gempak.

Sunny berkata demikian ketika ditemui di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Tambah Sunny lagi, dia tertarik untuk terbabit dengan filem Eye on The Ball selepas menonton filem Ola Bola.

“Masa filem Ola Bola baru keluar, satu Malaysia bercerita pasal filem tu. Saya pula jenis nak memperjuangkan nasib OKU, bila saya menonton filem tu, saya terfikir bilalah orang nak bercerita pasal Ola Bola tetapi versi buta.
“Saya nak orang ramai tahu cerita kami jadi saya perlukan platform. Sewaktu pengarah filem Yihwen Chen datang mengikuti latihan kami, saya tahu dia seorang wartawan tapi tak tahu dia pandai buat filem.

“Bila kami mula bersembang, Wen pula banyak tanya pasal pasukan saya, tak sangka momen tu berikan dia inspirasi untuk menghasilkan filem Eye on The Ball,” katanya lagi.

EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sekumpulan anak muda cacat penglihatan bertekad untuk menggapai impian menjadi pemain bola sepak profesional di pawagam tempatan bermula 19 Mac 2020.