Hiburan

Urusan Hati Cik Drama Queen Bukan Drama Kahwin Paksa

gempak
Kamaruddin Razal
16/02/2017
13:03 MYT
Sponsor Banner
Urusan Hati Cik Drama Queen Bukan Drama Kahwin Paksa
Pengarah Michael Ang menjelaskan yang drama terbaru arahannya, Urusan Hati Cik Drama Queen lari daripada kebiasaan dengan tidak menampilkan jalan cerita kahwin paksa seperti yang selalu ditampilkan di kaca televisyen.
“Drama bersiri ini merupakan adaptasi novel dengan tajuk yang sama karya penulis Areila Sahimi. Saya menampilkan sesuatu yang berbeza menerusi drama bersiri ini. Tunjang cerita adalah masih berkisarkan mengenai cinta.
“Walaupun fokus utama penceritaan berkisar mengenai konflik watak utama bernama Syazlin lakonan Scha Alyahya yang mencari cinta dalam hidupnya, penonton tidak akan disajikan dengan babak-babak klise.
“Jika penonton selalu dihidangkan dengan jalan cerita berkenaan dengan kahwin paksa dan sebagainya, Urusan Hati Cik Drama Queen pula bercerita mengenai kisah kekeluargaan,” kata Michael kepada Astro Gempak.
Mengarahkan drama ini bersama sutradara Hadith Omar, Michael tidak mengalami sebarang kesukaran untuk menggandingkan Scha Alyahya dan Aiman Hakim Ridza sebagai teraju utama.
“Scha menjadi seorang wanita yang bernama Syazlin. Dia digambarkan sebagai seorang drama queen. Walaupun usia Scha dan Aiman berbeza di luar set, perbezaan itu berjaya ditutup dengan lakonan bersahaja mereka dalam skrin.
“Mereka sama-sama memberikan aksi yang terbaik untuk menjayakan drama bersiri ini. Saya berharap agar semua penonton dapat menyokong drama bersiri ini sehingga ke akhir episod,” kata Michael lagi.
Dalam perkembangan lain, filem pertama arahan Michael, Kimchi Untuk Awak terbitan Astro Shaw bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 30 Mac ini.
Jangan lupa saksikan drama bersiri Urusan Hati Cik Drama Queen yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024