Usaha Keras Berbaloi! Ratu Miss Charm 2024 Rashmita Rasindran Korbankan Waktu Tidur Untuk Buat Latihan - "4-5 Jam Sehari..."
Ratu cantik Malaysia, Rashmita Rasindran berkongsi semula momen sewaktu dinobatkan sebagai pemilik mahkota pertandingan ratu cantik Miss Charm 2024.
Pertama kali bertanding dalam acara berprestij itu, Rashmita gembira usaha yang dilakukan sepanjang pertandingan itu membuahkan hasil.
“Saya terkejut dan nangis kerana tak percaya langsung saya menang. Tapi saya gembira, terharu kerana akhirnya semua usaha keras saya berbaloi.
“Saya memang tiada pengalaman dalam pageantry, saya buat modelling sahaja sejak 6 tahun lalu jadi saya memang kena banyak buat kajian dan belajar sendiri untuk pastikan saya boleh menyerlah di mata dunia,” katanya ketika ditemui Gempak.
Bekerja sambil membuat latihan
Bukan satu perjalanan yang mudah, Rashmita mengakui banyak pengorbanan yang dilakukan termasuk perlu bekerja sambil melakukan latihan.
“Mental dan fizikal kena kuat ada banyak latihan catwalk dan sebagainya yang perlu diperkukuhkan.
“Saya juga kerja sambil membuat latihan untuk pertandingan ini jadi saya memang perlu bahagikan masa saya dengan betul,” ujarnya.
Malah, wanita berusia 24 tahun itu juga sanggup mengorbankan waktu tidur dan waktu bersama keluarganya demi memastikan dirinya cukup sedia untuk bertanding.
“Kalau ada apa-apa majlis dengan keluarga saya, saya tak pergi sebab saya utamakan untuk buat latihan bagi pertandingan ini. Banyak pengorbanan yang saya perlu lakukan bangun awal tidur lewat.
“4.30 pagi saya akan bangun, 9 malam balik kerja saya terus ke gim jadi rutin saya begitu. Saya tidur dalam 4 hingga 5 jam sahaja dalam sehari itu,” tambahnya lagi.
Imbas semula, Rashmita Rasindran menepati ramalan apabila dinobat sebagai pemilik mahkota baharu pertandingan ratu cantik Miss Charm 2024.
Kemenangan itu telah menumpaskan saingan terdekat dari Australia, Alana Deutsher-Moore yang meraih tempat kedua dan Nguyen Thi Quynh Nga dari Vietnam mendapat tempat ketiga.
Pertandingan yang diadakan di Nguyen Du Stadium, Ho Chi Minh City, Vietnam, semalam menyaksikan Rashmita berjaya mengalahkan 35 peserta dari negara lain.
Kemenangan itu sekaligus telah mengulang kejayaan pelakon, model dan penerbit terkenal, Kavita Sidhu yang sebelum ini bergelar Miss Charm International 1990.