Biarpun vaksin COVID-19 sudah pun mula dihasilkan dan dijangka diedarkan selewat-lewatnya tahun depan, namun apa yang paling menjadi kerisauan adalah penerimaan golongan anti vaksin.

Ini kerana menerusi kajian diterbitkan penyelidik di Sepanyol, Amerika Syarikat (AS) dan Britain baru-baru ini mendapati 14 peratus responden enggan menerima vaksin, manakala 14 peratus lagi teragak-agak.

Jumlah selebihnya iaitu 72 peratus responden pula bersedia untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Kajian tersebut dibuat hasil kaji selidik terhadap 13,400 individu di 19 negara yang teruk dilanda COVID-19.

Namun, apa yang membimbangkan adalah jika jumlah yang sedikit itu dikumpul dari setiap populasi, ia mungkin menjadikan jumlahnya mencecah jutaan individu enggan menerima vaksin.

Jumlah tersebut sekali gus menghalang dunia untuk mengekang pandemik berkenaan.

Selain itu, penyelidik juga mendapat individu yang kurang percaya kepada pemerintah lebih cenderung untuk tidak menerima vaksin.

Difahamkan, di China sebnyak 88 peratus responden mengatakan mereka sedia mengambil vaksin dan yakin cara berkenaan terbukti selamat dan berkesan.

China mencatatkan jumlah responden tertinggi berbanding negara lain dalam kaji selidik itu.

AS mencatatkan penerimaan 75 peratus dan di Rusia hanya 55 peratus bersetuju.

Untuk rekod, di Malaysia, kerajaan berkemungkinan memuktamadkan pemilihan vaksin COVID-19 menjelang awal tahun depan.

Memetik laporan Bernama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ujian klinikal vaksin COVID-19 dijangka dianalisis hujung tahun ini.

Kata beliau, kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara berhubung pelaksanaan undang-undang dan modal perolehan vaksin Covid-19.

Persoalannya jika benar golongan anti vaksin ini menolak 100 peratus keadah tersebut, bagaimana COVID-19 boleh dihapuskan?

Sumber: Harian Metro, Bernama