Viral
Usahawan Kosmetik Didakwa Pukul Anak Angkat Dengan Kasut, Bibik Buat Laporan Polis!
Seorang pembantu rumah telah membuat laporan polis terhadap majikannya yang juga seorang usahawan kosmetik kerana memukul anak angkatnya.
Pembantu rumah tersebut mendakwa, kejadian berlaku ketika usahawan kosmetik tersebut membuat rakaman video anak angkatnya yang sedang menangis.
Menerusi sebuah laporan polis yang tular, pembantu rumah itu memberitahu dia disuruh membawa anak angkat tersebut ke dalam bilik kasut sebelum diarahkan memukul kanak-kanak malang terbabit.
Katanya, majikan itu sendiri telah memukul kanak-kanak tersebut menggunakan kasut di bahagian badan dan mencubitnya sehingga meninggalkan kesan, selepas dia enggan bertindak (memukul) seperti yang diarahkan.
Tambah pembantu rumah berusia 34 tahun itu lagi, dia membuat laporan polis untuk melindungi dirinya selain bimbang dituduh memukul anak angkat tersebut.
Sementara itu menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Kami sudah merakam keterangan daripada semua saksi termasuk suspek. Kertas siasatan berhubung kejadian itu dijangka siap dalam minggu ini.
“Ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Difahamkan kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 28 Februari lalu di kediaman usahawan kosmetik itu di Petaling Jaya, sebelum pembantu rumahnya membuat laporan polis, sehari kemudian.
Must-Watch Video