Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Usia Bukan Ukuran...Ini 5 Selebriti Lelaki Bujang Sukses!

Asraf Aided
21/12/2020 15:10 MYT
Kehidupan bukanlah satu perlumbaan, setiap orang pastinya mempunyai keselesaan dan keutamaan masing-masing terutamanya dalam soal jodoh.

Melayari alam perkahwinan bukanlah satu perkara mudah, ia semestinya memerlukan persediaan yang kuat dari segi mental dan fizikal kerana komitmen itu akan diberikan sepenuh masa.

Oleh itu, ada yang selesa untuk berkahwin pada usia muda, begitu juga sebaliknya.

Di sini, Gempak senaraikan lima selebriti lelaki Malaysia yang masih belum berkahwin namun gah melakar kejayaan dalam bidang masing-masing.

Zizan Razak



Zizan merupakan selebriti versatil kesayangan ramai. Meskipun ramai yang mengusik Zizan untuk mula mendirikan rumah tangga, namun dia tetap tenang dan positif. Nama Zizan dalam industri hiburan tidak pernah pudar. Zizan merupakan naib juara program Raja Lawak musim pertama. Jejaka ini turut berjaya dalam bidang lakonan menerusi pelbagai filem antaranya Polis Evo, Abang Long Fadil, KL Gangster, Hantu Bonceng dan banyak lagi.

Zizan juga pernah tampil dengan beberapa lagu yang sedap didengar seperti Bawaku Pergi (bersama Kaka Azraff), Kau Takkan Tahu, Infiniti Cinta (juga bersama Kaka) dan Berserah (duet bersama Ismail Izzani).

Jejaka berusia 36 tahun ini juga kerap memenangi kategori dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) antaranya Artis Komedi Popular pada tahun 2018 diikuti beberapa kategori dari tahun lain. Dalam pada itu, Zizan juga kerap merangkul trofi dalam Anugerah MeleTOP Era (AME), salah satu kategori yang pernah dimenanginya adalah Bintang Filem MeleTOP pada tahun 2016.


Zul Ariffin



Nama Zul Ariffin, 34, kekal relevan meskipun sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan. Zul ternyata kuat belayar sendirian dalam membina kejayaan. Pelakon berbakat ini sudah banyak muncul dalam drama dan filem-filem terkenal tempatan seperti Sangkar, Misteri Dilaila, Hantu Kak Limah dan banyak lagi.

Zul pernah merangkul banyak trofi dari ABPBH, AME, serta beberapa anugerah lain. Antara kategori yang pernah dimenanginya dalam ABPBH adalah Pelakon Filem Lelaki Popular pada tahun 2017.

Datuk Hans Isaac



Siapa sahaja yang tidak mengenali figura berusia 49 tahun ini. Hans bukan sahaja berjaya dalam bidang lakonan, malah kini turut berkecimpung sebagai pengarah.

Hans pernah menjalin cinta bersama Erra Fazira dan Neelofa suatu ketika dahulu dan bertunang dengan pemenang Miss Tourism International 2012, Gabriella Robinson, namun semuanya terkandas di tengah jalan. Apapun, nama Hans terus dipandang tinggi dalam industri perfileman sehingga hari ini!

Remy Ishak



Remy, 38, tentunya menjadi idaman ramai gadis di luar sana. Sinonim dengan gelaran Hero Malaya, Remy telah banyak membintangi filem-filem terkenal seperti Sangkar, Pulang dan sebagainya.

Meskipun pernah dikaitkan dengan gosip cinta bersama beberapa rakan artis, namun Remy meneruskan perjalanan solonya sehingga kini dan terus fokus mempertahankan namanya dalam industri hiburan.

Anuar Zain



Meskipun sudah lama menapak dalam seni nyanyian, nama Anuar Zain, 50, masih utuh sehingga kini. Siapa sahaja yang tidak menyukai persembahan Anuar yang berprestij, dilengkapkan lagi dengan gaya fesyennya yang berkelas! Anuar mula menjejak kaki dalam bidang hiburan pada sekitar awal 80'an sebagai penyanyi kanak-kanak dan masih menjadi kegemaran ramai pada usia 50 tahun!

Demikianlah lima selebriti lelaki yang masih bujang dan sukses dalam bidang yang diceburi. Setiap orang ada fokus dan matlamat masing-masing, apapun, jodoh itu rahsia Tuhan!

#Selebriti #Bujang #Berjaya
;