Laman Utama
Usia Sudah 37 Tahun, Wings Masih Keramat, Tapi…
Wings masih keramat, mungkin itu julukan yang cukup sesuai diberikan kepada band rock legenda tanah air selepas menyaksikan Konsert Naga Kramat yang berlangsung di Zepp KL hujung minggu lalu.
Untuk sebuah kugiran yang telah berusia 37 tahun, semua yang dipersembahkan Wings, dari ketukan dram kepada petikan bass atau gorengan gitar utama dan kedua mereka diperkuat dengan lantunan vokal mantap vokalisnya, semua boleh dikatakan hampir sempurna.
Bayangkan, tiga lagu pertama iaitu Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing ‘berdentam dentum’ tanpa memberi ruang buat lebih 2,000 peminat atau Sayap Sayap Wings bernafas dengan tenang.
Advertisement
Adrenalin mengalir cukup deras sejak segmen pertama membawa kepada dendangan hit seperti Bernafas Dalam Lumpur, Ingatkan Dia, Jerangkung Dalam Almari, Lipas Kudung, Bujang Senang, Peronda Jaket Biru dan Sejati misalnya sudah cukup membuat segenap tapak konsert bergema hebat.
“Ini akan menjadi konsert terakhir kami di Kuala Lumpur untuk tahun ini sebelum kami berehat panjang. Mungkin selepas raya tahun hadapan baru kami akan kembali aktif,” ujar Awie yang seperti biasa komunikasi dengan peminatnya kerap diselangi lelucon bersahaja.
Mungkin sebagai hadiah, tidak hairan mengapa dalam konsert anjuran MW Entertainment ini, Wings membawakan tiga buah lagu antarabangsa iaitu Ares Lament (Loudness), He’s A Women She’s A Man dan Is There Anybody There (Scorpions) yang merupakan hit dan rujukan pemuzik rock zaman 80-an yang jarang dibawakan konsert mereka sebelum ini.
Disudahi dengan encore termasuk Gemuruh dan Sayap Ilusi, kehebatan Wings sudah tidak terusikkan.
Hanya sekadar pandangan dari seorang peminat kerdil yang berkesempatan menonton konsert Wings beberapa kali sepanjang 37 tahun penubuhan mereka, kugiran ini perlu memantapkan koordinasi konsep konsert yang sebenar.
Bukan hanya permainan yang padu, tetapi pencahayaan yang tidak terlalu silau dan kuat serta susunan visual yang seperti dikutip dari arkib entah mana mana dan sistem bunyi terbaik adalah elemen penting dalam sesebuah persembahan.
Kerana itu yang membezakan persembahan konsert dengan persembahan di tapak show biasa biasa ; selain permainan, konseplah yang selalu membuat penonton atau peminat tidak akan dapat melupakan sesuatu momen yang mereka dapat dalam setiap konsert yang dihadiri.
Must-Watch Video