Penyanyi, Usop telah selamat mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihan, Nur Fatihah Md Hashim,25 yang berasal dari Sungai Dua,Pulau Pinang.

Majlis pertunangan naib juara Big Stage 2020 itu diadakan secara tertutup di Dewan Desa Murni, Taman Desa Murni Sungai Dua, Pulau Pinang.

Majlis dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu yang ditetapkan kerajaan.

Ditanya mengenai perkenalannya dengan Fatihah atau lebih mesra dipanggil Teha itu, Usop berkata dia mula menegur tunangnya itu menerusi laman sosial Instagram (IG).

“Saya adjust (mengorat) dia dekat IG. Mula-mula dia tak layan saya sebab dia baru putus cinta masa tu. Tapi akhirnya dia sahut salam perkenalan saya.

“Dari situ kami mula mengenali hati budi masing-masing. Saya tertarik dengan Teha kerana dia tidak pernah memandang siapa saya.

“Dia tidak pandang paras rupa atau apa yang saya miliki sekarang. Masa saya mula-mula kenal Teha, saya tiada apa-apa,” katanya yang mengenali Teha sejak dua tahun lalu.

Tambah Usop, dia dan Teha mengikat tali pertunangan selama lima bulan dan merancang untuk mengadakan majlis pernikahan pada Februari 2022.

“Setakat ini kalau mengikut perancangan, majlis akad nikah kami akan diadakan bulan dua tahun depan.

“Kalau nak cakap tentang persiapan, setakat ini sudah 40% siap dan saya berharap agar semuanya dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, pada majlis hari ini Usop menerima tujuh hantaran dari pihak perempuan, dibalas lima oleh pihak lelaki.

Majlis pertunangan telah disempurnakan mengikut adat Melayu oleh kedua -dua belah pihak dengan menyaksikan Muhd Firdaus mewakili pihak perempuan manakala Mohd Noor sebagai wakil dari pihak lelaki.

Untuk info, Teha berkhidmat sebagai seorang kakitangan bahagian pentadbiran dan perniagaan di sebuah syarikat di Pulau Pinang.

Foto: @alenphotography786 / @kakiklikphotograph