Berita
Ustaz Azhar Idrus Patah Tangan, Hidung Kerana Kemalangan Ketika Kayuhan Santai
Penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI) patah tangan dan hidung selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai aktiviti berbasikal.
Perkara tersebut dikongsi Exco Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri tersebut.
Wan Sukairi menerusi muat naik di laman sosial Facebook (FB)nya semalam meminta orang ramai mendoakan (UAI).
“Kita doakan Murobbi Sejuta Ummah kita selamat, selepas gateh (kayuh) dengan UAI petang tadi, dalam perjalan balik dia terlibat dengan kemalangan. Semoga Allah sembuhkan Ustaz Azhar Idrus kita,” tulisnya.
Sementara itu menurut laporan Harian Metro, UAI menyertai kayuhan santai bersama Wan Sukairi dan NGO negeri terengganu di sekitar bandar raya itu sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
UAI ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara di Kuala Terengganu, petang Isnin.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar 6.30 petang apabila basikal yang ditunggang UAI tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan penceramah itu terpelanting.
Pembantu khasnya, Wan Safari Wan Ahmad berkata, UAI kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan segera.
Difahamkan, kayuhan santai itu bermula dari Masjid Khalifah di Jalan Pusara dan ke sekitar bandar raya itu sebelum kembali semula ke masjid berkenaan.
Berikutan itu juga, UAI yang dijadualkan menyampaikan kuliah di Surau Pak Tuyu, Mengabang Telipot malam ini terpaksa membatalkannya.
Dalam perkembangan lain, akaun Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original) memaklumkan semua kuliah yang sepatutnya disampaikan UAI terpaksa ditangguh seketika kerana memerlukan rehat akibat kemalangan tersebut.