Hiburan
Ustazah Shadiya Disahkan Meninggal Dunia Bukan Sebab COVID-19
Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas yang disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, semalam, disahkan negatif Covid-19.
Perkara itu dikongsikan suami arwah, Ustaz MK Azman menerusi status dimuat naik di Facebook pada tengah hari, semalam (Isnin).
“Alhamdulillah, jenazah isteri saya negatif Covid-19 selepas dua kali buat ujian. Insya-Allah, jenazah akan dibawa balik ke Masjid Puncak Alam untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan selepas solat Zohor hari ini.
“Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Cherakah Puncak Alam,” katanya.
MK Azman juga memaklumkan hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan untuk menguruskan jenazah.
Malah, MK Azman memohon doa orang ramai doa agar roh isterinya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Maaf jika saya katakan tuan dan puan tak perlu hadir. Hanya doa yang kami pinta agar arwah diampunkan segala dosanya dan ditempatkan bersama para solihin.
“Pihak polis hanya membenarkan keluarga terdekat saja untuk uruskn jenazah. Digalakkan buat solat jenazah ghaib. Ampun maaf,” katanya.
Ustazah Shadiya Abbas yang juga pendakwah bebas meninggal dunia secara mengejut akibat sesak nafas pada jam 5.05 pagi, di Hospital Sungai Buloh, Ahad.
Allahyarham pernah menjadi pengacara program Haiwan Teladan dan Fiqh Wanita di TV3 dan penyampai radio Ikim FM.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video