Pelakon Elfira Loy, 27, menyatakan dia seorang yang meletakkan kebahagiaan keluarga sebagai keutamaan.

Elfira atau nama sebenarnya, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri berkata dia sanggup menghabiskan semua duitnya sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga yang ditimpa kesusahan.

"Kebahagiaan keluarga adalah my top priority. El seorang yang jenis, kalau El ada RM100, El bagi RM100 semua pada mereka.

"El lagi sanggup tak ada duit dari tengok orang lain tak ada duit. Sebab El sangat percaya pada rezeki Allah dan tak berkira sesama manusia," tulisnya di Instagram (IG).

Tambah pelakon telefilem Kum Kum ini, dia percaya segala kemewahan yang dimiliki bukan hak miliknya.

"Sampai sekarang, saya masih percaya yang apa sahaja yang saya ada sekarang ini bukan milik saya tapi milik semua orang.

"Bila-bila saja boleh hilang. Sebab itu whatever I do, El mesti fikir orang lain dulu," tulisnya lagi.



Dalam pada itu, anak kedua daripada empat beradik ini turut berkongsi sebuah video ketika sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-27 pada 8 Mac lalu.

"Saja El nak kongsikan video pada majlis hari jadi El sebagai kenangan kat sini," tulis Elfira.

Terdahulu, Elfira mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairul Anuar pada 1 Januari 2019. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhamad Rayyan Khalaf yang kini berusia setahun.