Uyaina Arshad ‘Berang’ Video #SudahJalanKaBelum Disalah Guna Untuk Promosi Barangan - “Jangan Sesuka Hati Guna…”
Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad meluahkan rasa kecewa apabila ada individu yang menggunakan videonya tanpa izin untuk tujuan promosi perniagaan di media sosial.
“Ok, memandangkan keadaan semakin tak terkawal, saya rasa saya perlu bersuara. Kepada anda yang menjadi ejen affiliate, tolong, tolong, tolong jangan gunakan video saya untuk mempromosikan perniagaan atau produk yang anda jual.
“Saya tidak mewakili atau menjadi duta mana-mana jenama. Apa yang membuatkan anda rasa anda boleh guna video saya dan promosikan di laman sosial anda?” tulisnya.
Dalam pada itu, Uyaina menjelaskan bahawa video berkenaan dimuat naik atas niat murni untuk memberi motivasi kepada ibu-ibu yang sedang berjuang untuk menurunkan berat badan selepas bersalin.
Oleh itu, Uyaina meminta kepada mana-mana pihak yang telah menggunakan videonya itu untuk padam dengan kadar segera.
“Saya muat naik video saya berjalan dengan tanda pagar #SudahJalanKaBelum sebagai pembakar semangat buat para ibu yang sedang berjuang menurunkan berat badan selepas bersalin. Tolonglah, jangan sesuka hati guna video saya… tak berkat,” ujarnya.