Kejayaaan negara Rusia menghasilkan vaksin COVID-19 pastinya menjadi berita gembira buat semua.

Walaubagaimanapun, penghasilan vaksin COVID-19 itu disifatkan sebagai agak luar biasa.

Menerusi laporan Astro Awani, Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Marlina Osman menjelaskan, tiada rekod atau dokumentasi saintifik dikeluarkan negara tersebut dalam penghasilan vaksin berkenaan.

Tambahan pula, katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak mempunyai maklumat atau data yang cukup untuk membuat kesimpulan mengenai vaksin itu.

"Melalui pengalaman sebelum ini, keadaan ini agak luar biasa kerana kebiasaannya akan ada dokumentasi saintifik sama ada dalam bentuk jurnal untuk dimaklumkan dari semasa ke semasa sehingga memperoleh vaksin yang benar-benar berkesan dan selamat untuk digunakan.

"Menurut laporan media barat dan berapa media antarabangsa, vaksin dihasilkan dengan menggunakan satu kaedah yang diguna pakai menerusi penghasilan (vaksin) HIV beberapa tahun lalu, tetapi ia menemui kegagalan.

"Kaedah itu agak skeptikal. Maka, adakah kaedah dibangunkan Rusia akan menghasilkan vaksin berkesan?" katanya ketika ditemui bual menerusi Buletin AWANI pada Rabu.

Dalam pada itu, Dr Marlina berkata, jangka masa paling awal vaksin dapat dihasilkan adalah pada penghujung tahun ini.

"Kita dilihat tempoh masa vaksin yang dihasilkan Rusia amat berbeza dengan pengalaman yang dihasilkan negara yang pernah membangunkan vaksin sebelum ini.

"Apa yang berlaku di Rusia di luar jangkaan dan kalau hendak dibincang secara ilmiah agak sukar kerana tiada maklumat pengesahan boleh dibuat," katanya.

Selasa lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mendakwa negaranya berjaya menghasilkan vaksin pertama yang menawarkan 'imunisasi stabil' bagi merawat jangkitan COVID-19.

Untuk rekod, sehingga Julai lalu, WHO melaporkan hanya 136 vaksin sedang dalam peringkat pembangunan dan hanya 26 vaksin kini berada dalam peringkat ujian klinikal.

Berdasarkan senarai itu, WHO tidak menerima sebarang maklumat daripada Rusia.