Laman Utama
Vaksin Kepada Petugas Media Akan Diperluas Ke Semua Negeri
Proses pemberian vaksin COVID-19 kepada petugas media yang bermula semalam akan diperluaskan ke seluruh negara.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, ia bertujuan untuk memastikan lebih 4,000 warga media yang disenaraikan mendapat vaksin berkenaan.
"Saya berterima kasih kepada YB Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) yang memberikan fokus kepada warga media.
"Pada masa sama, warga media yang sudah dapat (janji temu) vaksin dalam MySejahtera, kalau dapat terus pergi, jangan tunggu (vaksinasi) kumpulan media," katanya semalam.
Sementara mengenai kenyataan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUJ) menggesa warga media yang belum menerima vaksin supaya tidak ke lapangan untuk membuat liputan, Saifuddin berkata beliau sudah menerima surat daripada NUJ dan akan menelitinya.
"Saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dengan Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba. Saya faham keperluan itu," katanya.
Kata beliau, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sememangnya meminta petugas media didahulukan kerana golongan itu juga turun padang sama seperti petugas barisan hadapan lain.
"Namun saya faham Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 ada perkiraan mereka," katanya lagi.
Dalam pada itu, berkenaan laporan polis berhubung program All Together Now Malaysia, Saifuddin mengatakan KKMM telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyiasat perkara tersebut.
Beliau juga difahamkan rakaman program itu dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa satu dan ada pihak Finas ada mengeluarkan kebenaran untuk membuat rakaman.
"Jadi, dari segi masa, rakaman dibenarkan, kelulusan juga ada.
"Cuma MCMC akan siasat sekiranya ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam proses membuat rakaman. Astro telah tangguh tayangan program itu dan saya anggap itu langkah yang baik," katanya.
Sumber: BERNAMA
Foto: AWANI