Sejak hujung minggu lalu, dunia hiburan Indonesia kecoh dengan dakwaan peminat penyanyi Korea Selatan, IU, yang mengatakan Via Vallen menciplak salah satu muzik video idola mereka.

Muzik video itu adalah lagu terkini penyanyi dangdut tersebut yang diberi judul Kasih Dengarlah Aku. Jalan cerita dan visual muzik video itu didakwa meniru atau menciplak konsep di lagu Above The Time.

Tidak hanya heboh di Indonesia, malah isu tersebut juga sempat kecoh di Korea Selatan. Banyak media Korea melabelkan muzik video Via Vallen sebagai terlalu murahan dari versi asal.

Sempat menafikan dirinya menciplak muzik video IU, Via Vallen kemudian akhirnya terpaksa akur setelah banyak bukti ditunjukkan oleh netizen.

Lantaran berasa malu, Via Vallen akhirnya meminta maaf kepada IU, dan semua peminat penyanyi itu. Dia mengaku ada banyak persamaan dalam kedua dua muzik video tersebut.

"Buat IU, peminat IU dan semua pihak yang bersangkutan, saya minta maaf kerana memang banyak persamaan muzik video saya dengan milik IU.

"Bagaimanapun, ini bukan satu perbuatan yang disengajakan. Saya bukan peminat K Pop, jadi saya tidak tahu banyak mengenai muzik video K Pop," tulis Via Vallen di media sosialnya.

Via Vallen juga mengaku malu kerana telah menjadi topik hangat di atas hal yang terjadi.



Untuk menjernihkan keadaan, dia telah meminta pihak label mengeluarkan muzik video tersebut.

"Jika saya tahu konsep muzik video ini sama dengan milik IU, sudah tentu saya minta semuanya diubah.

"Jujur, saya malu sangat lepas tahu dan meminta muzik video ini dikeluarkan," katanya.

Penyanyi itu kemudian berjanji agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi.

Sambil meminta maaf buat kesekian kalinya, dia mengatakan apa yang terjadi merupakan sebuah pelajaran buatnya.

"Ini akan menjadi pembelajaran buat saya di masa depan. Sekali lagi dari lubuk hati saya yang paling dalam, saya minta maaf," kata Via Vallen.

Kredit Foto: Viki
Instagram: @viavallen